Sumber Gambar: ProjekMM

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim bersedia untuk kembali menerajui badan tersebut dan mengembalian kegemilangan bola sepak Perlis seperti sebelum ini dan menyelesaikan kemelut kewangan yang melanda pasukan.

Shahidan berkata kemelut kewangan persatuan tersebut bukanlah perkara baru tetapi tiada pihak yang berjumpa dan berunding dengannya untuk mencari jalan penyelesaian.

“Ini sebenarnya merupakan manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri dan janji saya sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu untuk memulihkan kembali PFA.

“Saya bersedia untuk menerajui PFA, namun setakat ini tiada mana-mana pihak yang da­tang untuk mempe­lawa.

“Saya tidak boleh menonjol kerana takut nanti mereka (pe­ngurusan PFA) kata pandai-pandai pula,” katanya kepada Kosmo.

Semasa PFA berada di bawah kendalian Datuk Seri Shahidan Kassim, Perlis berjaya muncul sebagai juara Piala Malaysia pada edisi 2004 dan edisi 2008.

Akan tetapi, situasi tersebut cukup berbeza dengan saat ini apabila Perlis beraksi dalam saingan Liga FAM dan terpalit dengan masalah tunggakan gaji pemain berjumlah RM461,500. Jumlah tersebut melibatkan 29 pemain pasukan yang dikhabarkan sudah empat bulan tidak dibayar.

PFA menerusi Pemangku Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan telah menghantar surat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihaknya akur berhubung tuntutan itu. Namun, beberapa perkara kritikal harus diselesaikan terlebih dahulu.

Jelas Mohd. Abdul Karim, PFA akan mengadakan Kongres Luar Biasa pada 29 September ini sebagai mekanisme untuk memilih kepimpinan baharu selain mencari jalan menyelesaikan gaji pemain yang tertunggak.

Apa yang pasti, PFA perlu segera mencari jalan penyelesaian kepada kemelut kewangan yang melanda mereka agar nasib para pemain terjamin dan mereka mendapatkan apa yang sepatutnya menjadi hak mereka.

Selain itu, penting untuk PFA menyelesaikan tunggakan gaji pemain dengan segera bagi mengelakkan dijatuhi hukuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Apa pendapat anda mengenai hasrat Datuk Seri Shahidan Kassim yang mahu kembali menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) ? Adakah beliau individu yang tepat untuk menyelesaikan segala kemelut yang melanda Perlis ?

Baca Juga: Tabung Selamatkan Perlis Dilancarkan

Leave a Reply