Sumber Gambar: FAP

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dr. Amar Pritpal Abdullah sah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang baru.

Dr. Amar Pritpal Abdullah merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap mendapat 17 undi sekaligus beliau menewaskan ahli perniagaan, Datuk Seri Ho Kwee Cheng yang menerima 15 undi sempena Mesyuarat Agung Luar Biasa FAP yang dijalankan pada semalam.

Penyandang sebelum ini iaitu Datuk Tahir Jalaluddin Hussin meletakkan jawatan pada Mac lalu dan meninggalkan pasukan dalam keadaan yang sangat kritikal. Pemain dan pegawai pasukan dikhabarkan sudah empat bulan tidak menerima gaji dan perkara ini menjadi masalah utama yang mahu diselesaikan oleh Dr. Amar.

“Jumlah tunggakan gaji ialah sebanyak RM700,000 sebulan dan paling cepat, saya harap dapat selesaikan pada hujung bulan depan,” katanya kepada Utusan Online.

Masalah tunggakan gaji pemain dan juga para pegawai pasukan sememangnya merencatkan perancangan Pulau Pinang musim ini. Dalam saingan Liga Perdana, Pulau Pinang menamatkan saingan di tangga ke-11. Mujur mereka tidak turun ke Liga FAM musim hadapa kerana Kuantan FA dibubarkan.

Dalam saingan Piala FA pula, langkah Pulau Pinang terhenti di peringkat ketiga manakala dalam saingan Piala Cabaran, skuad Harimau Kumbang hanya mampu menamatkan saingan dalam peringkat kumpulan.

Apa yang pasti, dengan pelantikan presiden baru diharapkan pasukan Pulau Pinang dapat bangkit semula daripada masa-masa suram pada saingan musim hadapan. Selain itu, FAP perlu mempunyai perancangan mengenai bagaimana untuk memantapkan lagi kantung kewangan dan juga meningkatkan lagi kualiti pasukan.

Ini bagi memastikan tiada lagi isu tunggakan gaji para pemain dan pegawai pasukan melanda pasukan musim hadapan sekaligus pemain boleh menampilkan aksi terbaik dan Pulau Pinang segera kembali ke saingan Liga Super.

Apa pendapat anda mengenai pelantikan Dr. Amar Pritpal Abdullah sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang baru ? Mampukah Dr. Amar menyelesaikan masalah yang sedang membelenggu FAP sekaligus mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan Pulau Pinang seperti sebelum ini ?

Baca Juga: Pulau Pinang Kekal Beraksi Di Liga Perdana

Leave a Reply