Sumber Gambar: Goal.com

Bola sepak dunia masih lagi dikejutkan dengan kematian seorang penyokong Persija yang maut akibat dibelasah oleh penyokong Persib sebelum perlawanan antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga 1 Indonesia. Kini, ramai pihak mahukan FIFA untuk mengambil tindakan ke atas PSSI.

Ramai pihak menyalahkan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) kerana gagal untuk mengawal tingkah laku para penyokong di stadium ketika Persib dan Persija beraksi serta mengambil ringan tentang tewasnya Haringga Sirila dalam kejadian pada Ahad lalu.

Sebuah organisasi yang dikenali dengan nama Badan Olahraga Profesional Indonesia (BOPI) meminta PSSI untuk menghentikan saingan Liga Indonesia selama seminggu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Namun, badan induk bola sepa Indonesia itu menolak dengan alasan tidak mahu memberikan beban buat pasukan yang bertanding kerana jadual sudah disusun.

Sementara itu, Polis Indonesia setakat ini telah menangkap tujuh suspek bagi membantu siasatan tentang meninggalnya Harringga. Yang lebih menyedihkan, dalam tujuh suspek yang ditahan, ada dua remaja yang baru berusia 16 dan 17 tahun.

Pada masa yang sama, kumpulan penyokong Persija, The JakMania mengambil keputusan untuk tidak membalas dendam di atas kematian Heringga. Setiausaha Agung JakMania, Diky Soemarno menyerahkan segalanya kepada pihak polis bagi menyelesaikan kes ini.

Apa yang pasti, hukuman perlu dijatuhkan kepada pihak yang bersalah agar perkara ini tidak berulang lagi pada masa akan datang. Kekecohan diantara penyokong dalam saingan Liga Indonesia setakat ini sudah memakan 59 korban jiwa sejak 1995.

Manakala kekecohan antara Viking yang merupakan kumpulan penyokong Persib dan The Jakmania telah memakan 6 korban jiwa sejak 2012.

Untuk rekod, bola sepak Indonesia pernah digantung oleh FIFA selama dua tahun iaitu pada 2014 hingga 2016 kerana campur tangan kerajaan dalam urusan badan induk bola sepak Indonesia itu.

Kali ini, ramai pihak meminta PSSI dikenakan hukuman yang lebih berat kerana tragedi yang berlaku telah menyebab nyawa seorang penyokong yang datang ke stadium untuk menyaksikan pasukan kesayangan beraksi melayang.

Baca Juga: Bola Sepak Indonesia Berduka Lagi

Leave a Reply