Sumber Gambar: Perak Today

Tiga pasukan dikhabarkan mengintai khidmat penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Akhyar Rashid. Tiga pasukan tersebut masing-masing berasal dari Liga Malaysia dan Liga Thailand.

Menurut laporan Berita Harian, wakil daripada ketiga-tiga pasukan tersebut sudah melakukan rundingan dan mereka menunjukkan minat terhadap pemain berusia 19 tahun ini.

“Hasil rundingan, mereka memberikan tawaran hebat demi masa depan kerjaya Akhyar yang dilihat sangat berpotensi dalam industri bola sepak yang sangat kompetitif sekarang ini.

“Selain dua kelab tempatan, kelab ternama Thailand yang kini menduduki antara tangga terbaik carta Liga 1 Thailand juga menunjukkan minat dan menyatakan hasrat melalui rundingan.

“Ini juga satu peluang yang dimaklumkan kerana jika seseorang pemain itu sudah mempunyai pengalaman beraksi di Liga Thailand, maka peluang lebih cerah untuk melebarkan cita-cita beraksi di Liga Jepun.”

Setelah beraksi cemerlang bersama skuad bawah 23 dan bawah 19 tahun dalam kejohanan antarabangsa tahun ini, nama Akhyar Rashid disebut-sebut telah menarik perhatian beberapa kelab ternama di Asia Tenggara dan juga pasukan besar dalam saingan Liga Malaysia.

Selepas membantu pasukan bawah 23 tahun melangkah ke peringkat suku akhir temasya AFC Bawah 23 Tahun di China pada awal tahun ini, Buriram United dikhabarkan berminat untuk membawa masuk Akhyar. Namun, perkara tersebut tidak kesampaian.

Akhyar sekali lagi menampilkan prestasi terbaik beliau ketika beraksi dalam temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia tempoh hari. Kini, juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta’zim dikhabarkan turut berminat untuk membawa masuk Akhyar.

Apa yang pasti, kemana saja tujuan Akhyar selepas ini, beliau perlu mendapat tempat dalam kesebelasan utama bagi mendapatkan minit permainan yang cukup untuk meningkatkan lagi tahap dan kualiti permainan beliau.

Permata seperti Akhyar perlulah dijaga agar sinarnya tidak hilang dan terus menyinari pasukan kebangsaan pada masa akan datang.

Apa pendapat anda mengenai masa depan Akhyar Rashid bersama pasukan Kedah ? Adakah beliau akan berhijrah dengan menyertai pasukan lain ? Atau beliau akan setia membela Kedah dalam saingan Liga Malaysia pada musim hadapan ?

Baca Juga: 5 Pemain Yang Boleh Mengukuhkan Benteng Pertahanan Selangor

Leave a Reply