Sumber Gambar: Tribun Kaltim

Kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung hari ini dijatuhi hukuman berat oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) di atas tragedi kekecohan para peminat ketika perlawanan menentang Persija pada 22 September lalu.

Hukuman yang dikenakan terhadap Persib ialah mereka harus beraksi di luar pulau Jawa dan diarahkan untuk menggunakan stadium di Kalimantan sebagai home mereka bagi baki saingan Liga 1. Selain itu, pertandingan yang diadakan di markas Persib tidak dibenarkan untuk dihadiri para penyokong.

Persib hanya boleh kembali menggunakan Stadium Gelora Lautan Api pada saingan musim 2019. Walaupun begitu, PSSI tidak membenarkan pertandingan di stadium tersebut dihadiri penonton sehingga pertengahan musim 2019.

Tidak hanya itu, para peminat yang terlibat dengan kejadian yang menyebabkan Haringga Sirila meninggal dunia pada Ahad lalu dikenakan hukuman digantung daripada memasuki mana-mana stadium bola sepak di Indonesia selama seumur hidup.

Tidak cukup dengan itu, beberapa pemain Persib turut menerima hukuman berupa penggantungan perlawanan kerana membuat kekasaran melampau terhadap pemain Persija. Antara pemain yang digantung ialah Jonathan Bauman yang digantung dua perlawanan kerana menyiku pemain lawan.

Penyerang import, Ezechiel Ndouasel digantung lima perlawanan kerana menyiku dan sengaja menjatuhkan pihak lawan. Pemain pertahanan, Bojan Malisic digantung empat perlawanan kerana menendang pemain lawan. Ardi Idrus diberikan amaran keras kerana bergaduh dengan pemain lawan manakala pegawai pasukan, Fernando Soler dikenakan hukuman tidak boleh mendampingi pasukan sehingga musim 2018 berakhir kerana mengugut pengadil perlawanan.

Selain pemain Persib Bandung, empat pemain Persija turut dikenakan hukuman yang sama apabilaterlibat dengan kekecohan ketika perlawanan berlangsung. Ketua pasukan, Ismed Sofyan dan Sandi Darma Sute masing-masing digantung tiga perlawanan.

Dua lagi pemain iaitu Riko Simanjuntak dan Renan Da Silva diberikan amaran keras dan dikenakan penggantungan sebanyak dua perlawanan.

Setelah dijatuhi hukuman oleh PSSI, Persib mengambil keputusan untuk membuat rayuan kepada PSSI dalam masa terdekat.

Apa pendapat anda mengenai hukuman yang dikenakan terhadap Persib dan juga peminat mereka ? Adakah hukuman yang diberikan akan menginsafkan mereka ?

Baca Juga: Bola Sepak Indonesia Berduka Lagi

Leave a Reply