Sumber Gambar: Kelantan FA

Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran mahu terus beraksi bersama skuad The Red Warriors pada saingan Liga Malaysia musim hadapan meskipun Kelantan bakal beraksi dalam kancah Liga Perdana.

Pemain berusia 19 tahun ini mempunyai tekad untuk menaikkan semula nama dan juga prestasi pasukan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim 2019 nanti.

“Beraksi bersama negeri kelahiran (Kelantan) adalah sesuatu yang baik untuk perjalanan karier saya dalam sukan bola sepak. Impian saya musim depan ingin menaikkan semula nama Kelantan sebagai antara kuasa bola sepak di Malaysia,” katanya kepada Kosmo.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Akif ini sudah pasti memberikan kelegaan kepada para peminat setia Kelantan kerana sebelum ini terdapat cakap-cakap bahawa khidmat Nik Akif sedang diintai oleh beberapa pasukan dari Liga Malaysia dan juga pasukan dari Thai League.

Dalam masa yang sama, Nik Akan memanfaatkan pengalaman yang diperolehi beliau ketika beraksi bersama skuad bawah 23 tahun negara pada temasya Sukan Asia 2018 bagi membantu skuad bawah 19 tahun Malaysia pada temasya AFC Bawah 19 Tahun di Indonesia.

“Saya perlu memberikan komitmen yang tinggi dan menggunakan segala pengalaman untuk membalas kembali kepercayaan diberikan oleh ke­tua jurulatih, Bojan Hodak. Bagaimanapun, saya perlu bekerja keras untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama,” tambah Nik Akif.

Kehadiran Nik Akif diharapkan dapat membantu skuad bawah 19 tahun negara mengulangi pencapaian cemerlang ketika menenangi AFF Bawah 19 Tahun di Indonesia pada Julai lalu dalam temasya yang menjanjikan slot ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun di Poland tahun hadapan.

Jika pasukan bimbingan Bojak Hodak berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir, maka kita akan menyaksikan Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah bola sepak tanah air.

Malaysia diundi dalam kumpulan D bersama-sama pasukan Arab Saudi, Tajikistan dan juga China. Akhyar Rashid dan rakan-rakan akan memulakan saingan menentang pasukan Arab Saudi pada 20 Oktober disusuli dengan perlawanan menentang Tajikistan pada 23 Oktober dan diakhiri dengan menentang pasukan China pada 26 Oktober.

Baca Juga: Nik Akif Tunggu Panggilan Bojan Hodak

Leave a Reply