Sumber Gambar: Pahang FA

Pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh berjanji akan menampilkan aksi terbaik beliau jika diberi peluang untuk tampil dalam kesebelasan utama pada perlawanan persahabatan menentang pasukan Sri Lanka dan Kyrgyztan bulan ini.

Sumareh, yang mendapat kerakyatan Malaysia pada April lalu dipanggil oleh ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe bagi menyertai kem latihan pusat sebagai persediaan menentang Sri Lanka dan Kyrgyztan.

Pemain berusia 27 tahun ini terkejut apabila mendapat perkhabaran di mana beliau disenaraikan dalam skuad kali ini dan mengucapkan terima kasih kepada Tan Cheng Hoe kerana memberikan kepercayaan kepadanya.

“Ini pastinya merupakan peluang keemasan dan terbaik saya untuk bermain mewakili pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia.

“Sudah tentu saya akan memanfaatkan peluang ini untuk menampilkan aksi terbaik dan saya percaya seluruh peminat bola sepak di negara ini turut mengharapkan saya dapat bermain untuk Malaysia,” katanya kepada Utusan.

Sumareh turut melaungkan keyakinan majikan beliau iaitu Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) akan melepaskan beliau untuk beraksi bersama skuad kebangsaan memandangkan pasukan Pahang tersingkir daripada saingan Piala Malaysia 2018.

“Sebelum ini kami mempu­nyai komitmen dalam pertandi­ngan Piala Malaysia, saya percaya (sekarang) tiada halangan daripada PBNP melepaskan kami,” tambah Sumareh.

Perkara ini turut disokong oleh pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang yang berkata Pahang tidak mempunyai halangan untuk Sumareh dan dua lagi pemain untuk beraksi mewakili pasukan bola sepak kebangsaan.

Penyenaraian Sumareh dalam skuad kebangsaan kali ini nyata disambut meriah oleh peminat bola sepak tanah air. Kemasukan Sumareh dilihat mampu untuk meningkatkan lagi kualiti di barisan serangan kerana kemampuan serta kualiti yang dimiliki oleh beliau.

Ketika ini ada pemain seperti Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Shahrel Fikri Fauzi yang mengisi bahagian serangan dan kehadiran Sumareh bakal memberikan satu persaingan yang sihat kepada ketiga-tiga pemain ini.

Selain itu, Tan Cheng Hoe juga bakal memiliki satu pilihan yag lebih luas berbanding sebelum ini.

Baca Juga: 4 Pemain Yang Wajar Dipanggil Tan Cheng Hoe

Leave a Reply