Sumber Gambar: Perak TBG

Presiden Persatuan Bola Sepak perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata ada ganjaran yang menanti pemain dan juga pegawai pasukan sekiranya skuad The Boss Gaurus melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018.

“Kami tunggu pengumuman Menteri Besar (Ahmad Faizal Azumu) dengan pasukan, esok. PAFA dengan sokongan dan bantuan kerajaan negeri, kami memberi insentif kepada seluruh pasukan Perak untuk memberikan suntikan semangat dengan insentif ini serta memberi mereka nilai tambah untuk beraksi dengan lebih semangat seperti mana semangat mereka tunjukkan dalam perlawanan dengan PKNS FC baru-baru ini.

“Pada suku akhir, tiada sesiapa meletakkan harapan untuk Perak melangkah ke separuh akhir kerana kami tidak pernah menang dengan PKNS sebelum ini. Tapi atas semangat jitu dan suntikan semangat daripada Menteri Besar, saya harap pemain dapat beraksi dengan lebih baik,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Pasukan bimbingan Mehmet Durakovic ini akan menentang pasukan Sabah pada perlawanan peringkat separuh akhir dan mereka sudah pasti mahu melangkah ke pentas final buat kali pertama sejak edisi 2007.

Tambah Hasnul, bukan saja beliau yang mengimpikan Perak melangkah ke perlawanan akhir namun seluruh rakyat Perak sudah pasti mempunyai impian sama dan mahu menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi di pentas final.

“Saya lihat mereka bertambah yakin dan suasana harmoni yang lebih mendalam serta perhubungan antara pemain nampak jitu. Kami perlu menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri Ahad ini supaya dapat bekalan gol yang selesa sebelum beraksi di Likas,” tambah Hasnul.

Perak terlebih dahulu akan menerima kunjungan Sabah pada perlawanan separuh akhir pertama pada Ahad ini sebelum berangkat ke Likas bagi mengharungi perlawanan kedua pada 21 Oktober.

Sebagai rekod, Perak muncul sebagai juara Piala Malaysia sebanyak tujuh kali dan mereka telah 11 kali bergelar sebagai naib juara.

Apa pendapat anda mengenai inisiatif yang dilakukan oleh PAFA dengan memberikan ganjaran kepada pemain dan juga pegawai pasukan jika Perak melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 ? Mampukah imbuhan ini menaikkan lagi semangat pemain dan pegawai pasukan Perak ?

Baca Juga: 4 Pemain Yang Wajar Dipanggil Tan Cheng Hoe

Leave a Reply