Sumber Gambar: JST

Penyerang skuad kebangsaan, Hazwan Bakri kembali diturunkan dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim pada perlawanan peringkat suku akhir Piala Malaysia 2018 menentang pasukan Pahang minggu lalu.

Hazwan menjadi pilihan untuk mengisi posisi sebagai penyerang utama pasukan setelah penyerang import, Fernando Marquez terpaksa diketepikan bagi baki saingan Piala Malaysia 2018 apabila beliau mengalami kecederaan di bahagian muka yang serius ketika perlawanan suku akhir menentang PKNS FC.

Di peringkat separuh akhir, JDT akan menentang pasukan Terengganu FC dan Hazwan dilihat bakal diberikan tanggungjawab untuk mencari jaringan bagi memastikan trofi yang dimenangi pada edisi lalu dapat dipertahankan pada edisi kali ini.

Jika beliau diturunkan dalam kesebelasan utama JDT, bekas penyerang Selangor ini perlu memanfaatkan peluang tersebut bagi memikat hati pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menyenaraikan beliau dalam skuad yang akan beraksi pada kejohanan Piala AFF Suzuki yang akan bermula bulan hadapan.

Ketika ini, ada tiga penyerang yang telah dipanggil oleh Tan Cheng Hoe bagi beraksi bersama skuad kebangsaan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan. Tiga penyerang tersebut ialah ketua pasukan, Zaquan Adha, rakan sepasukan Hazwan di JDT iaitu Syafiq Ahmad dan penyerang Nakhon Ratchasima, Shahrel Fikri Fauzi.

Kami berpendapat Hazwan masih lagi mempunyai masa untuk menampilkan aksi terbaik beliau sekaligus berada dalam senarai Tan Cheng Hoe untuk dipanggil pada November ini. Dua perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2018 wajib dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh Hazwan Bakri sekiranya beliau masih lagi mahu menyarung jersi skuad kebangsaan.

Apa yang pasti, bahagian serangan merupakan bahagian yang perlu diberikan perhatian lebih oleh Tan Cheng Hoe. Beliau perlu memilih pemain yang tepat bagi memastikan pasukan negara mampu mencabar pasukan lain.

Apa pendapat anda mengenai peluang Hazwan Bakri untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 yang akan bermula November ini ? Adakah dengan kehadiran beliau, barisan serangan negara boleh dipertingkatkan ?

Baca Juga: TMJ Idam Pusat Latihan Seperti Real Madrid

Leave a Reply