Sumber Gambar: Peris FA

Para pemain dan pegawai pasukan Perlis masih lagi menunggu untuk Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) melunaskan tunggakan gaji mereka. Dikhabarkan PFA masih lagi belum melunaskan bayaran gaji meskipun telah diarahkan untuk berbuat demikian oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketua jurulatih Perlis, Manja man berkata FAM telah mengarahkan PFA untuk melunaskan tunggakan gaji dalam tempoh 30 hari bermula dari 3 September lalu. Akan tetapi, sehingga ke hari ini, masih lagi belum ada apa-apa bayaran yang dilakukan oleh PFA kepada kesemua 37 individu berkenaan termasuk 29 pemain pasukan.

“Pemain tidak ada sumber pendapatan lain sehingga ada antara mereka yang gagal menjelaskan bayaran ansuran kenderaan menyebabkan kereta mereka ditarik pihak bank.

“Kalau diikutkan, esok (hai ini) tarikh akhir ditetapkan FAM untuk mereka jelaskan tunggakan gaji selama enam bulan, dan kami sangat berharap ada bayaran dibuat esok,” katanya menurut laporan Utusan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub berkata PFA mempunyai tunggakan gaji paling tinggi selain pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan, Terengganu City FC iaitu sebayak RM 461,500.

Jika gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh ditetapkan, perkara berkenaan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi. Berkemungkinan besar PFA akan dijatuhi hukuman berat yang boleh menjejaskan masa depan pasukan.

Apa yang pasti, PFA perlu segera mencari jalan penyelesaian bagi melunaskan tunggakan gaji para pemain dan pegawai mereka bagi mengelak dikenakan hukuman berat oleh FAM. Jika perkara tersebut berlaku, maka mereka sendiri yang bakal dirugikan.

Selain itu, PFA perlu segera menyelesaikan tunggakan gaji agar pemain dan para pegawai pasukan boleh melangsungkan hidup mereka tanpa perlu risau tentang gaji yang tidak dibayar. Mereka juga mempunyai tanggungan yang perlu diberikan perhatian dan gaji yang tertunggak sudah pasti tidak membantu kelangsungan hidup mereka.

Baca Juga: 10 Pasukan Hadapi Masalah Gaji

Leave a Reply