Sumber Gambar: Pahang FA

Tamat sudah perjalanan pasukan Pahang dalam mengharungi musim 2018 selepas tewas kepada Johor Darul Ta’zim di peringkat Suku Akhir Piala Malaysia pada Sabtu lepas. Secara keseluruhannya, Pahang menamatkan musim 2018 dengan satu sahaja kejuaraan iaitu Piala FA 2018 selepas menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kemudian, Pahang menamatkan Liga Super 2018 di tangga keempat dan terkandas di Suku Akhir Piala Malaysia.

Logikalnya, pencapaian Pahang pada musim 2018 adalah lebih baik berbanding pencapaian pada tahun 2017. Namun begitu, ada beberapa perkara kecil baik yang positif mahupun yang negatif, perlu diperhalusi untuk penambahbaikan pada musim yang akan datang.

Secara asasnya, ada beberapa perkara positif pada pasukan Pahang pada musim ini. Pertamanya, barisan pertahanan Pahang pada musim ini menunjukkan aksi yang begitu cemerlang. Meskipun Dollah mempertaruhkan gandingan pertahanan tengah (CB) tempatan, keserasian yang ditunjukkan pada tiap-tiap perlawanan wajar diberikan tepuk tangan dan pujian.

Gandingan back four yang dibarisi Davies, Muslim, Afif dan Faisal Rosli menunjukkan persembahan yang mantap pada kebanyakan perlawanan. Begitu juga, Bunyamin Omar dan Zubir Azmi yang kadangkala diturunkan oleh Dollah Salleh sebagai langkah rotasi pemain.

Keduanya, kemasukan Safuwan Baharuddin di dalam pasukan Pahang ternyata amat berbaloi apabila beliau kelihatan amat serasi untuk menggerakkan jentera tengah bersama-sama Norazam Azih. Berdisiplin, komited dan versatile. Mungkin ini adalah karakter yang tepat untuk menggambarkan seorang pemain bolasepak yang bernama Safuwan Baharuddin.

Namun, ada beberapa isu yang perlu diberikan perhatian oleh barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan Pahang. Pertamanya, pencapaian di Liga Super 2018 merudum sedikit berbanding musim 2017. Pahang berada di tangga ke-4 pada tahun 2018 manakala pada tahun 2017 Pahang berada di tangga kedua.

Walaupun bermula baik pada awal musim, prestasi Pahang sedikit merudum pada penghujung musim. Kemudian, pemilihan pemain import pada jendela perpindahan kedua amat mengecewakan. Kemasukan Iwuji Amutu dan Issey Nakajima bagi menggantikan Forkey Doe dan Chan Vathanaka tidak memberikan impak yang begitu positif kepada jentera serangan Pahang.

Kesilapan percaturan ini membawa kepada masalah penurunan prestasi dan corak permainan yang membosankan pada penghujung musim. Menurut penulis, kesilapan ini juga membawa Pahang ke tangga ke-4 Liga Super dan kekalahan di Suku Akhir Piala Malaysia.

Maka, dalam usaha untuk mengejar pencapaian yang lebih memberangsangkan pada musim 2019, PBNP perlu lebih telus dalam pemilihan pemain import dan pemilihan pemain import perlulah dilakukan lebih awal supaya tidak merencatkan aksi di awal musim.

PBNP juga perlu mencari seorang dua lagi pemain tengah tempatan seperti Norazam Azih dalam kalangan pemain skuad Piala Presiden. Selain itu, PBNP juga perlu mencari seorang pemain import tengah persis Zah Rahan ataupun Lee Tuck bagi memperkuatkan lagi pasukan. Jika tidak keberatan, Chan Vathanaka wajar dipanggil semula asbab kelebihan beliau sebagai set-piece taker.

Konklusinya, prestasi pasukan Pahang pada musim ini wajar diberikan pujian. Namun begitu, ada beberapa perkara kecil perlu diselesaikan sebagai langkah awal untuk meningkatkan pencapaian pada musim 2019.

Persediaan rapi perlu dijalankan untuk memburu kejuaraan terutamanya gelaran Juara Liga Super yang kali terakhir dimenangi Pahang pada tahun pertama Liga Super diperkenalkan iaitu tahun 2004. Akhir kata, selamat maju jaya buat Pahang FA. Hogoh Pahang Hogoh!

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Zul Effandi. Jika anda mempunyai artikel yang mahu dikongsikan dengan peminat bola sepak tanah air boleh hubungi kami melalui media sosial Inikan Bola.

Baca Juga: Pahang Dianggap Tidak Patriotik ?

Leave a Reply