Sumber Gambar: PKNP FC

Ketua jurulatih Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Abu Bakar Fadzim memilih untuk kekal bersama kelab itu bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Keputusan Abu Bakar ini sekaligus menamatkan spekulasi dimana beliau dikhabarkan akan dilantik sebagai pengendali pasukan Melaka United bagi menggantikan E.Elavarasan.

Jurulatih yang lebih dikenali sebagai Coach Burn ini mengambil keputusan untuk kekal kerana pihak pengurusan PKNP telah menjelaskan tentang hala tuju pasukan dan mengesahkan mereka akan kekal beraksi dalam saingan Liga Super.

“Saya berterima kasih dengan kesungguhan yang ditunjukkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) dan juga penyokong Melaka United.

“Memang saya akui ada perbincangan berlaku, namun saya membuat keputusan untuk kekal di PKNP selepas kelab menyatakan hala tuju untuk musim hadapan.

“Saya juga telah memaklumkan perkara ini kepada pengurusan Musa dan mereka memahami keputusan saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Abu Bakar Fadzim menambah beliau akan kekal mengendalikan PKNP FC sehingga kontrak beliau tamat iaitu pada musim hadapan.

Sejak membimbing PKNP pada 2015, Abu Bakar berjaya membawa pasukan adik kepada Perak ini muncul naib juara Liga FAM edisi 2016. Seterusnya, Abu Bakar membimbing PKNP menamatkan saingan Liga Perdana 2017 di tangga keempat. PKNP turut layak ke saingan Liga Super bagi menggantikan T-Team yang ditukar status menjadi kelab pembangunan kepada Terengganu FC.

Dalam saingan Liga Super musim ini, PKNP berjaya mengekalkan status bagi saingan musim hadapan dimana mereka menamatkan saingan di tangga kesembilan.

Kami berpendapat keputusan Abu Bakar Fadzim untuk kekal membimbing PKNP FC merupakan satu keputusan yang tepat kerana PKNP dilihat satu pasukan yang mampu untuk melangkah dengan lebih jauh.

Ditambah dengan adunan pemain muda dan berpengalaman, tidak mustahil PKNP mampu untuk mencabar pasukan-pasukan besar dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Apa pendapat anda mengenai keputusan Abu Bakar Fadzim yang mahu kekal membimbing PKNP FC musim hadapan ? Mampukah PKNP kembali memberikan saingan sengit sepertimana yang dilakukan oleh mereka pada musim lalu ?

Baca Juga: Peluang PKNP FC Cipta Sejarah

Leave a Reply