Sumber Gambar: JST

Pemain tengah import Johor Darul Ta’zim, Harris Harun menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama juara Liga Super 2018 itu. Ini bermakna Harris akan kekal beraksi bersama JDT sehingga tahun 2021.

Perkara ini diumumkan di laman media sosial rasmi pasukan, Johor Southern Tigers pada semalam dan pihak JDT sendiri nyata gembira dengan keputusan Harris untuk menandatangani kontrak lanjutan.

Kontrak Harris yang terdahulu akan tamat pada penghujung musim 2019. Pemain tengah dari Singapura ini menyertai JDT pada musim 2014 dan beliau menjadi antara pemain tengah import terbaik dalam saingan Liga Malaysia.

Setakat ini, Harris berjaya memenangi 5 kejuaraan Liga Super, 3 Piala Sumbangsih, 1 Piala FA, 1 Piala Malaysia dan 1 kejuaraan Piala AFC pada 2015.

Musim lalu Harris sepatutnya dihantar untuk beraksi bersama kelab Sepanyol, CE L’Hospitalet namun ada beberapa perkara yang tidak membolehkan Harris menyertai kelab tersebut dan akhirnya beraksi bersama Home United bagi saingan musim 2017.

Harris kembali menyertai JDT bagi sangan musim ini dan beliau nyata tidak mengecewakan apabila selalu menjadi pilihan bagi diturunkan dalam kesebelasan utama dan kemudiannya diangkat sebagai ketua pasukan bagi menggantikan Safiq Rahim.

Ketika ditemubual Johor Southern Tigers, Harris menyatakan perasaan gembira beliau apabila menandatangani kontrak lanjutan dan berasa bangga dapat membantu pasukan memenangi pelbagai kejuaraan sejak 2014.

Harris Harun menambah musim hadapan ialah musim terpenting bagi Johor Darul Ta’zim kerana mereka akan beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan berharap JDT akan terus beraksi di pentas terbesar bagi kelab di rantau Asia itu.

Apa pendapat anda mengenai keputusan Harris Harun yang menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama Johor Darul Ta’zim ? Adakah beliau akan terus diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan bagi saingan musim hadapan ?

Baca Juga: Peluang Johor Darul Ta’zim Cari Bekalan Selesa

Leave a Reply