Sumber Gambar: JST

Juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim akan bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah esok bagi menghadapi Terengganu FC pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2018.

Setelah memadam cabaran daripada pasukan Pahang di peringkat suku akhir, pasukan bimbingan Luciano Figueroa ini berpeluang untuk mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi edisi tahun lalu dimana mereka menewaskan pasukan Kedah dalam perlawanan akhir.

Kini, satu-satunya pasukan yang berada di halangan mereka untuk mara ke perlawanan akhir dalam dua edisi berturut-turut ialah pasukan Terengganu FC. Rekod pertemuan diantara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super sebelum ini memihak kepada JDT dengan dua kemenangan di tempat sendiri dan juga tempat lawan.

Bukan setakat rekod kemenangan yang memihak kepada JDT, malah rekod jaringan turut memihak kepada juara Liga Super musim 2018 ini dimana TFC masih lagi gagal untuk menjaringkan gol ke gawang JDT.

Beraksi di tempat lawan pada perlawanan separuh akhir pertama menjadi kelebihan buat JDT kerana gol di tempat lawan bakal membantu dalam usaha JDT melangkah ke perlawanan akhir.

Apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak buah Luciano Figueroa ialah memperoleh sebanyak mungkin jaringan pada malam esok bagi memastikan mereka membawa bekalan selesa sebelum menjamu Terengganu di Larkin pada perlawanan separuh akhir kedua.

Pemain seperti Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera dan Fernando Elizari dilihat bakal menjadi harapan utama skuad Harimau Selatan untuk merobek gawang Terengganu kerana ketiga-tiga pemain ini menjadi watak utama dalam kemenangan Johor Darul Ta’zim ke atas Pahang minggu lalu.

Apa yang pasti, JDT tidak boleh memandang rendah keupayaan anak-anak buah Irfan Bakti meskipun telah menewaskan mereka dalam saingan Liga sebelum ini. Pentas Piala Malaysia khususnya pentas separuh akhir adalah satu pentas yang berbeza dan apa saja boleh berlaku.

Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara Johor Darul Ta’zim menentang Terengganu FC dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2018 ? Mampukah JDT memperoleh jaringan di tempat lawan ? Atau Terengganu FC bakal mengejutkan mereka ?

Baca Juga: Suffian Abdul Rahman Manfaatkan Peluang

Leave a Reply