Sumber Gambar: Sabah FA

Ketua jurulatih pasukan Sabah, Jelius Ating menyifatkan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2018 menentang pasukan Perak merupakan ujian terbesar bagi anak-anak buah beliau.

Walaupun berdepan tugas sukar pada malam esok, namun beliau percaya para pemain Sabah mampu untuk mengejutkan Perak di laman sendiri sekaligus mendapatkan bekalan selesa menuju ke perlawanan separuh akhir kedua.

“Perak sebuah pasukan kuat, mereka naib juara Liga Super. Oleh itu menggandakan usaha adalah jalan terbaik untuk kita mengatasi mereka.

“Kami pernah mengejutkan beberapa pasukan Liga Super sebelum ini dan tidak mustahil melakukannya sekali lagi, kami akan cuba sedaya upaya memberi saingan kepada Perak kerana saya percaya dalam bola sepak apa pun boleh berlaku,” katanya kepada Berita Harian.

Jelius Ating menambah persiapan pasukan berjalan dengan lancar apabila pemain utama pasukan bebas daripada sebarang kecederaan dan mereka sudah sedia untuk diturunkan.

“Kita hanya tidak dapat menggunakan Randy Baruh yang masih menjalani penggantungan perlawanan akibat kad merah pada aksi suku akhir pertama bertemu Kelantan, tempoh hari.

“Keadaan pasukan kini begitu baik, mereka sangat bersemangat untuk mengharungi aksi penting ini,tambah beliau.

Jelius dilihat akan menurunkan kesebelasan terkuat beliau bagi mencari gol di tempat lawan. Pemain seperti Azzizan Nordin akan mengawal jentera tengah pasukan sambil dibantu oleh Sabri Sahar dan Maxius Musa.

Ketua pasukan, Rawilson Batuil dan Francis Kasonde bakal diberikan tanggungjawab untuk mengawal kubu pertahanan Sabah manakala dua pemain import, Rodoljub Paunovic dan Hector Omar Ramos bakal menjadi harapan utama pasukan untuk mencari jaringan.

Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan Sabah menentang pasukan Perak pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2018? Mampukah Sabah memperoleh jaringan di tempat lawan? Atau Perak bakal muncul sebagai pemenang?

Baca Juga: KBS Mahu Siasat Dana NFDP

Leave a Reply