Sumber Gambar: Twitter Syed Saddiq

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu menyiasat dana yang diperuntukkan kepada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan tidak teragak-agak untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika wujud unsur rasuah dan penyelewengan.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau akan membuat penilaian selepas wujud dakwaan berlaku unsur ketirisan membabitkan kontraktor yang dilantik dengan kos RM85 juta bagi membangunkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.

“Saya sendiri akan nilai dan lihat, kalau perlu pengauditan kita kena buat dan kalau perlu siasatan kita akan maklumkan kepada SPRM,” katanya kepada Berita Harian selepas sesi dialog NFDP bersama penyokong bola sepak tanah air pada Khamis.

“Saya serius dalam perkara ini kerana apabila saya bertemu Lim Teong Kim (Pengarah AMD), dia kata benda sama iaitu (pusat latihan) perlukan penambahbaikan, bila jumpa barisan kejurulatihan pun mereka luahkan perkara sama.

“Ketika kita melihat AMD sebagai pusat latihan terbaik yang setaraf dengan akademi Bayern Munich, Jepun dan Korea Selatan, tetapi pada masa sama perkara asas masih belum mencukupi.

“Kita sibuk membincangkan isu yang besar, tetapi perkara asas seperti bola pun tak cukup walaupun dah dijanjikan sebelum ini.

“Perkara ini perlu diselesaikan dahulu kerana jika tidak diselesaikan, kita campak duit banyak mana pun ia tak akan pergi jauh, integriti adalah nombor satu,” tambah beliau.

Pada semalam, Syed Saddiq memhuat lawatan secara mengejut ke pusat latihan AMD di Gambang dan beliau nyata kecewa dengan keadaan semasa pusat latihan yang menelan belanja sebanyak RM85 Juta itu.

Fasiliti yang tidak lengkap dan juga pemakanan para pemain yang tidak dijaga membuatkan Menteri Belia dan Sukan ini berang dan meminta kontraktor yang telah dilantik sebelum ini untuk memperbaiki segala kerosakan.

Syed Saddiq juga menambah KBS akan meminta bantuan kepada Institut Sukan Negara (ISN) dan beliau akan meletakkan sekurang-kurangnya enam pegawai ISN di AMD nanti.

Baca Juga: Syed Saddiq Kecewa Dengan AMD

Leave a Reply