Sumber Gambar: MFL

Terengganu FC membawa bekalan satu gol menuju ke perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2018 apabila mereka berjaya menundukkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim dengan keputusan 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama sebentar tadi.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri nyata memberikan semangat yang tersendiri buat para pemain Terengganu dimana mereka melancarkan gerakan serangan ke kubu pertahanan pasukan lawan sejak minit-minit awal permainan.

Pada minit ke-6, ketua pasukan, Kipre Tchetche memulakan satu gerakan dan kemudiannya beliau menghantar bola kepada Lee Tuck. Namun, hantaran Kipre tidak sampai kepada Tuck.

Berselang lima minit kemudian, ketua pasukan JDT, Harris Harun berpeluang untuk membuka tirai jaringan namun sepakan deras beliau berjaya dikeluarkan oleh Thierry Chanta-Bin setelah keadaan sedikit kelam-kabut di dalam kotak penalti Terengganu.

Adib Aizudin dan Gonzalo Cabrera kemudiannya mencuba nasib dengan melakukan percubaan namun gagal untuk menggegar gawang lawa. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan seimbang.

Memasuki separuh masa kedua, JDT bermula sedikit garang apabila melancarkan percubaan menerusi penyerang mereka, Hazwan Bakri namun tandukan bekas penyerang skuad kebangsaan ini tersasar.

Gol yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila Abdul Malik Mat Ariff berjaya menyempurnakan hantaran daripada Kipre sekaligus meletakkan Terengganu satu gol dihadapan.

JDT cuba untuk mencari gol penyamaan namun segala usaha mereka dinafikan oleh barisan pertahanan pasukan Terengganu FC sekaligus mengekalkan kedudukan sehingga separuh masa kedua tamat.

Bekalan satu gol yang dibawa Terengganu FC dilihat berharga kerana mereka akan bertandang ke Larkin pada perlawanan kedua. Apa yang perlu dilakukan oleh para pemain Terengganu ialah memastikan JDT tidak menjaringkan gol dan mereka perlu menjaringkan gol bagi menggandakan kelebihan yang dimiliki.

Baca Juga: PETEH Tak Mahu Insiden Lalu Berulang

Leave a Reply