Sumber Gambar: JST

Pengurus Johor Darul Ta’zim, Luciano Figueroa atau yang lebih dikenali dengan panggilan Lucho nyata terkejut apabila pasukan bimbingan beliau tewas kepada Terengganu FC pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2018 Sabtu lalu.

Menurut Figueora, anak-anak buah beliau telah menampilkan permainan terbaik mereka dengan menguasai sebahagian besar perlawanan namun gagal untuk menewaskan Terengganu yang beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Tuan rumah sekadar memperoleh tiga peluang sepanjang tempoh 90 minit perlawanan tetapi berjaya meledak satu gol yang menjadi pemisah antara ke­dua-dua pasukan malam ini (kelmarin).

“Pemain-pemain saya bermain lebih baik tetapi gagal memanfaatkan deretan peluang yang terhidang,” katanya menurut laporan Kosmo.

Lucho turut menegaskan beliau tidak akan menyalahkan para pemain di atas kegagalan untuk mencari gol di tempat lawan yang sangat berharga. Pemenang Piala AFC 2015 itu juga percaya para pemain sudah berusaha sehabis baik untuk mencari keputusan positif namun nasib tidak menyebelahi mereka.

“Apa pun, kita kena melupakan kekalahan ini. Saya percaya kita boleh bangkit, sekali gus menukar keputusan pada aksi timbal balik di Larkin pada 20 Oktober depan,” katanya.

Terengganu FC berjaya membawa bekalan satu gol menuju ke perlawanan separuh akhir kedua nanti apabila pemain gantian, Abdul Malik Mat Ariff menjaringkan gol pada separuh masa kedua. JDT cuba bangkit dengan menggandakan asakan ke kubu pertahanan Terengganu FC namun pasukan tuan rumah tetap cekal bertahan.

Apa yang pasti, JDT perlu mempunyai back up plan sekiranya mereka masih lagi gagal untuk menundukkan Terengganu di Larkin nanti. Meskipun kelebihan yang dimiliki lawan hanyalah satu gol, namun segalanya boleh berlaku jika mereka tidak memberikan cabarang sengit dan skuad Harimau Selatan boleh kehilangan peluang untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

Pemain seperti Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera dan Fernando Elizari dilihat bakal menjadi taruhan utama Johor Darul Ta’zim bagi memadam kelebihan yang dimiliki oleh pasukan bimbingan Irfan Bakti ini.

Baca Juga: Terengganu FC Bawa Bekalan Satu Gol Ke Larkin

Leave a Reply