Sumber Gambar: Nakhon Ratchasima

Tempoh pinjaman penyerang skuad kebangsaan, Shahrel Fikri Fauzi bersama Nakhon Ratchasima telah tiba ke penghujungnya apabila Shahrel memuat naik sebuah video di laman Instagram yang menunjukkan beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan sepasukan. Melihat kepada perkara ini, adakah Shahrel akan kekal bersama Nakhon bagi saingan musim hadapan ?

Sebelumnya, Shahrel menjalani tempoh pinjaman selama lima bulan dan bekas ketua pasukan PKNP FC ini berjaya menjaringkan beberapa gol buat Nakhon dalam saingan Thai League.

Shahrel menjaringkan satu gol buat Nakhon dalam saingan Piala Raja Thai dimana ketika itu Nakhon berjaya menewaskan Ranong United. Eki menjaringkan gol ketiga Nakhon bagi melengkapkan kemenangan 3-1 ke atas Ranong.

Dalam saingan Thai League 1 pula, penyerang berusia 25 tahun ini juga berjaya menjaringkan satu gol ketika Nakhon Ratchasima seri 3-3 dengan pasukan Prachuap FC.

Selain berjaya menjaringkan gol, Eki juga seringkali diletakkan dalam kesebelasan utama Nakhon dan perkara tersebut telah banyak membantu dalam peningkatan kualiti yang dimiliki oleh beliau.

Kini, masa depan Shahrel bersama Nakhon menjadi tanda tanya selepas tempoh pinjaman beliau telah sampai di penghujungnya. Sebelum Eki turun pada perlawanan terakhir beliau buat Nakhon, beredar khabar angin bahawa kelab tersebut mahu mengekalkan Shahrel bagi saingan musim hadapan. Selain Nakhon, khabarnya ada beberapa kelab di Thailand yang juga berminat untuk mendapatkan khidmat Eki.

Apa yang pasti, jika ada peluang untuk kekal di Thailand, maka Shahrel perlu memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik mungkin kerana hal itu dilihat mampu untuk meningkatkan lagi kebolehan serta kemampuan beliau sebagai pemain penyerang.

Akan tetapi, jika Eki memutuskan untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia, sudah pasti banyak pasukan terutamanya pasukan yang beraksi di Liga Super yang mahukan khidmat beliau.

Apa pendapat anda mengenai masa depan Shahrel Fikri Fauzi bersama Nakhon Ratchasima FC ? Adakah Shahrel akan kekal bersama Nakhon musim hadapan ? Atau beliau akan beraksi bersama pasukan berbeza ?

Baca Juga: Luqman Hakim Perlukan Pentas Yang Lebih Besar

Leave a Reply