Sumber Gambar: UKM FC

8 Oktober 2017, Stadium UKM Bangi. Tandukan jarak jauh Faidzol Fazreen dari sepakan sudut
menerjah gol di minit 110, memberi kelegaan kepada UKM FC yang mendahului 1-0. Mana tidaknya,
jaringan ini akan membawa mereka ke Liga Perdana 2018. Dan jelas, apabila wisel dibunyikan, UKM
mara ke perlawanan akhir selepas mengalahkan Shahzan Muda.

Walaupun ini kisah setahun yang lalu, namun ia adalah titik tolak UKM di kancah bolasepak Malaysia. Sebelum penyertaan di Liga FAM pada tahun 2015, mereka menyertai saingan Liga IPT dan Piala Menteri KPT sejak edisi pertama tahun 2010.

Penyertaan mereka di saingan Liga FAM menandakan berakhirnya saingan mereka di Liga IPT dan Piala Menteri KPT, begitu juga jurulatih mereka, Sulaiman Hussin yang berpindah ke Felda United untuk mengendalikan skuad Presiden.

Sebenarnya tawaran UKM untuk menyertai Liga FAM hadir selepas menjadi naib juara liga IPT 2010,
namun tawaran tersebut terpaksa ditolak atas sebab-sebab tertentu. Namun tawaran tersebut
akhirnya diterima pada tahun 2014, dan musim 2015 bermulalah saingan mereka di Liga FAM
bersama-sama dengan pasukan baru lainnya seperti JDT III, FELCRA, AirAsia FC (kini PJ Rangers), RealMulia (telah bubar) dan sebagainya.

UKM DI LIGA FAM

Asnan Zuki, bekas jurulatih UM dilantik bagi menggantikan Sulaiman Hussin. Saingan UKM di musim
pertama mereka dibilang bagus apabila menduduki tempat keempat daripada 10 pasukan di
Kumpulan A, di belakang Perlis, Real Mulia dan Megah Murni.

Sulaiman Hussin kembali di musim 2016, namun mereka terlepas tempat ke kelayakan Liga Perdana, apabila menduduki tempat kelima daripada 8 pasukan di Kumpulan B di belakang PKNP (naib juara liga), MOF FC, SAMB dan KDMM FC.

Musim 2017 merupakan musim kebangkitan mereka, apabila mencatat 8 kemenangan dan 4 seri daripada 14 perlawanan – hanya kalah dua kali dengan FELCRA (tempat lawan) dan MOF (tempat sendiri) dengan jaringan 1-0. Perlawanan kelayakan ke Liga Perdana, mereka bertemu Kuching di suku akhir dan mencatat kemenangan 2-1. Kemenangan 1-0 dengan Shahzan Muda di separuh akhir menjadikan UKM bakal menjadi pasukan universiti ketiga beraksi di Liga Perdana, selepas USM dan UiTM.

Di perlawanan akhir, UKM kalah 0-1 di tempat sendiri sebelum mengikat Sime Darby 2-2 di Stadium
Petaling Jaya, dan Sime Darby menjadi juara Liga FAM 2017. Namun Sime Darby menarik diri sebulan
selepas itu kerana masalah kewangan, dan UKM pula dikhuatiri bakal mengikut jejak Sime Darby.

UKM DI LIGA PERDANA DAN PIALA CABARAN

Walaupun UKM dibayangi penarikan diri seperti Sime Darby, namun UKM FC kekal bersaing di Liga
Perdana. Mereka menandatangani 4 pemain import, iaitu Waheed Oseni, Nam Se-in, Redouane Zerzouri dan Atuheire Kipson, sekaligus menjadikan mereka berempat pemain import pertama UKM.

Mereka juga mengekalkan pemain asal mereka dari Liga FAM yang merupakan bekas pelajar UKM sendiri, termasuklah ketua pasukan sebelum ini, Hafizuddin Sulaiman yang merupakan seorang guru di Selangor.

Prestasi yang terumbang-ambing, akhirnya Sulaiman merombak pasukan dengan menukar Kipson
dengan bekas penyerang MISC-MIFA, Michael Ijezie Chukwubunna serta mengambil 3 bekas pemain
Kuantan FA (Haziq Aris, Syafiq Azri dan Muhammad Azmi) dan Irwan Syazmin dari PKNP. Hasilnya,
UKM menamatkan musim perdana mereka dengan 22 mata di atas Sarawak, UiTM, Pulau Pinang dan
TFC II.

Terlepas slot terakhir ke Piala Malaysia, tidak membuat UKM FC patah arang apabila Piala Cabaran yang baru diperkenalkan musim ini memberikan harapan kedua bagi mereka untuk kembali mencuri
tumpuan. Diundi di kumpulan A bersama-sama Negeri Sembilan, TFC II dan Sarawak memberi bayangan bahawa mereka harus menjadi juara, seperti komen penolong jurulatih mereka semasa undian Piala Cabaran.

Dan selepas kemenangan 1-0 di Larkin minggu lepas, memang benar mereka telah mencuri tumpuan untuk layak ke perlawanan akhir bertemu TFC II kembali. Dan walaupun mereka tidak menjulang piala 15 Oktober nanti, mereka akan diingati sebagai pasukan universiti pertama yang layak ke perlawanan akhir.

Apalagi jika mereka menjadi juara, mungkin UKM FC adalah pasukan pertama yang beraksi di Piala
Malaysia 2019 – jika FMLLP bercadang membuka slot juara Piala Cabaran untuk ke Piala Malaysia
musim hadapan.

Namun kini, UKM FC yang sebelumnya hanya dikenali sebagai universiti keempat terbaik di Asia Tenggara dan ke-184 terbaik di dunia sebagai research university, kini mula dikenali sebagai pencabar baru bolasepak Malaysia. Dari Liga IPT ke Piala Cabaran, Inilah Varsiti Kita….

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

Baca Juga: Previu Piala Cabaran 2018!

Leave a Reply