Sumber Gambar: @SGfootball

Bekas ketua jurulatih Home United, Aidil Shahrin Sahak sah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Kedah yang baru dan akan mengendalikan pasukan bagi saingan Liga Malaysia musim 2019.

Pelantikan Aidil diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dalam satu sidang media yang diadakan semalam. Selain mengumumkan ketua jurulatih baru, KFA turut melantik bekas ketua pasukan, Victor Andrag sebagai pembantu kepada Aidil.

Setelah cemerlang bersama Home United dalam saingan S.League dan Piala AFC 2018, nama Aidil mula mendapat perhatian peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara. Aidil berjaya membimbing The Protectors meraih gelaran AFC Cup bagi Zon Asean pertama dalam sejarah kelab apabila mereka menewaskan Ceres Negros dalam perlawanan akhir.

Dato’ Seri Mukhriz berkata KFA meletakkan harapan yang tinggi kepada gandingan Aidil Shahrin dan Victor Andrag untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan setelah melalui musim yang agak suram dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Musim ini, Kedah telah menggunakan seramai tiga jurulatih iaitu Ramon Marcote, Nidzam Azdha Yusoff dan Azzmi Abdul Aziz.

Satu cabaran yang getir menanti Aidil dan Victor kerana bukan mudah untuk mengendalikan pasukan besar seperti Kedah yang sedia maklum mempunyai kredibiliti yang tinggi dalam Liga Malaysia.

Kami berpendapat, pelantikan Victor merupakan satu langkah yang tepat memandangkan beliau sudah masak dengan liku-liku dan juga “perangai” pemain Kedah terutamanya pemain senior pasukan. Pengalaman beliau ketika mengendalikan pasukan Sukma Kedah dilihat dapat dimanfaatkan bagi membantu pasukan senior.

Apa yang pasti, Aidil dan Victor perlu segera memulakan persiapan pasukan dengan mencari pemain baru terutamanya pemain import bagi memastikan pasukan berada dalam keadaan bersedia untuk mengharungi cabaran musim 2019.

Apa pendapat anda mengenai pelantikan Aidil Shahrin sebagai ketua jurulatih baru sambil dibantu oleh Victor Andrag sebagai penolong jurulatih ? Mampukah gandingan keduanya mengembalikan zaman kegemilangan Kedah sekaligus meletakkan skuad Hijau Kuning sebagai pencabar kejuaraan pada musim hadapan ?

Baca Juga: Kedah Perlukan Penilai Pemain Import

Leave a Reply