Sumber Gambar: Pahang FA

Kelibat pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh masih belum kelihatan dalam sesi latihan skuad kebangsaan menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan Sri Lanka dan Kyrgyztan.

Menurut ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, pihak pengurusan masih lagi berurusan dengan Persatuan Bola Sepak Pahang (PFA) mengenai pelepasan pemain berusia 26 tahun itu.

Cheng Hoe sendiri mahukan Sumareh untuk segera menyertai pasukan kerana beliau berpendapat kualiti yang dimiliki Sumareh mampu mengukuhkan lagi jentera serangan pasukan negara.

“Dia mampu memperkasakan pasukan ini melalui pengalamannya. Saya akan meletakkan dia di posisi kebiasaan sebelum ini dalam pasukan yang diwakili (Pahang).

“Namun, mungkin ada perubahan posisi buatnya berdasarkan latihan kelak. Gandingannya bersama pemain tempatan termasuk pemain muda diyakini mampu menyerlah,”katanya kepada Berita Harian.

Kelibat Sumareh sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat kerana gelecekkan serta kekuatan beliau ketika memegang bola dilihat mampu untuk meningkatkan lagi kualiti serta tahap pasukan negara khususnya di bahagian serangan.

Tambahan pula, ketiadaan pemain sayap Johor Darul Ta’zim, Safawi Rasid dalam skuad kali ini bakal memberikan peluang penuh kepada Sumareh untuk menampilkan aksi beliau bersama pasukan kebangsaan.

Menurut Tan Cheng Hoe lagi, beliau akan menggunakan dua aksi persahabatan ini sebagai medan penilaian para pemain bagi mencari pasukan terbaik yang bakal dibawa untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki yang akan bermula 8 November ini.

Apa yang pasti, diharapkan Mohamadou Sumareh segera bergabung bersama pasukan negara dan mula menjalani latihan sebelum turun menentang Sri Lanka pada 12 Oktober ini dan Kyrgyztan pada 18 Oktober.

Penting untuk Sumareh mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan yang lain bagi membentuk satu persefahaman dan keserasian sesama mereka.

Apa pendapat anda mengenai kelibat Mohamadou Sumareh yang masih lagi belum kelihatan dalam sesi latihan pasukan kebangsaan ? Adakah pasukan Pahang bakal melepaskan beliau untuk beraksi bersama Harimau Malaya ?

Atau kita terpaksa menunggu dengan lebih lama untuk melihat Mohamadou Sumareh beraksi bersama Malaysia di pentas antarabangsa ?

Baca Juga: Sumareh Janji Pamer Aksi Terbaik

Leave a Reply