Sumber Gambar: Kedah FA

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mahu menyiasat salah laku dalam tadbir urus kewangan yang berlaku dalam persatuan bagi memulihkan semula kantung kewangan pasukan.

Mesyuarat Majlis Eksekutif KFA yang berlangsung pada Isnin kemudiannya memutuskan untuk melantik pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mempengerusikan jawatankuasa integriti selepas ini. Segala keputusan sama ada berlaku salah laku ataupun tidak akan diketahui kelak.

Isu kewangan timbul setelah para penaja dikhabarkan sudah memasukkan wang tajaan namun persatuan tidak menerima wang tajaan tersebut. Nilai wang tajaan tersebut dianggarkan berjumlah jutaan ringgit namun tiada sebarang rekod yang dicatatkan.

Selain itu, KFA juga mahu memperkemaskan lagi jualan tiket dengan memperbaiki kaedah yang digunakan ketika ini bagi mengelakkan isu penjualan tiket khususnya tiket perlawanan akhir berulang.

Pada November lalu, ketika Kedah dijadualkan menentang Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2017, sekumpulan penyokong Kedah mengamuk kerana tiket yang dijual di kaunter stadium tidak mencukupi.

Sejumah 30,000 tiket telah diagihkan oleh pengelola Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL) kepada KFA namun yang terjual di kaunter Stadium Darul Aman hanyalah 10,000 tiket sahaja.

Selain itu KFA memutuskan untuk menyerahkan sepenuhnya nasib pemain tempatan dan juga import kepada Aidil Shahrin selaku pengendalibaru pasukan sama ada beliau mahu menggunakan pemain sedia ada atau membawa masuk pemain baru. Perkara ini turut disokong oleh Ahli Majlis Eksekutif KFA.

“Kali ini KFA akan biarkan ketua jurulatih yang tentukan nasib semua pemain dan pegawai, hanya lima pemain yang mempunyai kontrak selama setahun lagi manakala selebihnya akan menamatkan kontrak pada November ini.

“Jika jurulatih baru ini mahu mengekalkan mereka atau tidak ia terpulang kepada keputusannya. Apa yang penting kita mahukan sebuah pasukan yang lebih baik untuk musim depan.

“Begitu juga nasib lima pemain import, mereka akan kekal jika menjadi pilihan dan jika tidak kita akan menerima import baharu. Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira semua aspek termasuk kepentingan penyokong dan penaja,” katanya.

Baca Juga: Apa Nasib 5 Pemain Import Kedah ?

Leave a Reply