Sumber Gambar: Football Tribe

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menyatakan mereka tidak akan menghalang sekiranya pemain terbaik mereka, Akhyar Rashid mahu berhijrah dan beraksi dengan kelab luar negara. KFA berkata demikian pada sidang media yang disiarkan secara langsung di laman media sosial Facebook semalam.

Sebelum ini, timbul desas-desus bahawa ada beberapa kelab luar negara terutamanya daripada Liga Thailand yang berminat untuk mendapatkan khidmat Akhyar setelah pemain ini mempamerkan prestasi yang cemerlang bersama skuad kebangsaan.

Akhyar berjaya membantu skuad bawah 23 tahun mara ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah pada temasya AFC Bawah 23 Tahun di China pada awal tahun ini. Beliau kemudiannya membantu skuad bawah 19 tahun negara menjuarai AFF Bawah 19 tahun di Indonesia.

Meskipun tidak beraksi pada peringkat kalah mati kerana kecederaan bahu yang dialami, namun Akhyar tetap memainkan peranan penting buat skuad bawah 19 tahun negara.

Pemain yang dipanggil Mat Yat ini sekali lagi cemerlang bersama skuad bawah 23 tahun negara apabila beliau membantu Malaysia mara ke peringkat 16 pasukan terakhir sebelum tewas kepada pasukan Jepun.

Menurut KFA, kontrak pemain berusia 19 tahun ini masih lagi berbaki setahun lagi dan KFA bakal mengadakan perbincangan dengan pihak Akhyar mengenai memperpanjang kontrak tersebut.

Apa yang pasti, bakat yang dimiliki oleh Akhyar perlu dipelihara dan beliau sendiri perlu beraksi dalam saingan bola sepak yang berbeza dengan saingan yang ditawarkan oleh Liga Malaysia. Ini bagi memastikan tahap dan juga kualiti permainan beliau meningkat naik sekaligus dapat membantu pasukan kebangsaan.

Selain menyatakan tidak akan menghalang hasrat Akhyar jika beliau mahu beraksi di luar negara, KFA seolah-olah menyokong idea tersebut dengan mengatakan lebih baik Akhyar beraksi di liga luar. Jika belia mahu kekal dalam Liga Malaysia, maka beraksi bersama Kedah adalah lebih baik.

Walau apa pun, keputusan bakal dibuat oleh pihak pengurusan yang bakal mengadakan satu mesyuarat bagi memutuskan beberapa perkara.

Baca Juga: Aidil Shahrin Ketua Jurulatih Kedah Yang Baru

Leave a Reply