Sumber Gambar: Goal.com

Hari ini skuad kebangsaan akan berlepas ke Colombo bagi menghadapi pasukan Sri Lanka dalam satu perlawanan persahabatan yang akan berlangsung pada Jumaat ini. Pada perlawanan menentang Sri Lanka nanti, pemain manakah yang patut diturunkan bagi mengawal benteng pertahanan pasukan negara ?

Dalam skuad kali ini, ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe membawa seramai empat pemain pertahanan tengah iaitu Rawilson Batuil, Irfan Zakaria, Shahrul Saad dan Adam Nor Azlin. Pada dua perlawanan terakhir, Cheng Hoe telah menurunkan Rawilson, Irfan dan Shahrul manakala Adam tidak dipanggil.

Ketika tewas kepada Taiwan, Cheng Hoe menggandingkan Shahrul dan Irfan di bahagian pertahanan. Walaupun melepaskan dua gol, namun kedua-dua pemain menampilkan aksi yang baik dengan menafikan beberapa gerakan dan juga percubaan yang dilancarkan oleh pihak lawan.

Pada perlawannan menentang Kemboja pula, Cheng Hoe membuat sedikit perubahan dengan memasukkan Rawilson bagi menggantikan Irfan. Pada mulanya gandingan Shahrul dan Rawilson sedikit bergelut untuk mencipta persefahaman yang baik diantara mereka. Namun, menuju ke pertengahan permainan, kedua-dua pemain beraksi dengan baik.

Untuk perlawanan menentang Sri Lanka nanti, kami melihat Tan Cheng Hoe mempunyai dua pilihan sama ada mahu menurunkan pemain yang telah digunakan sebelum ini ataupun beliau boleh mencuba gandingan baru.

Cheng Hoe boleh menurunkan Irfan Zakaria dan Adam Nor Azlin bagi menguji sama ada kedua-dua pemain mampu untuk menampilkan prestasi baik sepertimana ketika mereka beraksi bersama skuad bawah 23 tahun negara.

Satu lagi gandingan yang boleh diturunkan oleh Cheng Hoe bagi mengawal benteng pertahanan negara ialah mengekalkan gandingan Shahrul Saad dan Rawilson Batuil. Gandingan ini menampilkan satu persembahan yang baik pada perlawanan menentang Kemboja dan perlawanan menentang Sri Lanka boleh digunakan sebagai medan untuk mengukuhkan lagi gandingan ini.

Apa yang pasti, siapa saja yang diturunkan di posisi pertahanan pasukan negara pada Jumaat ini harus beraksi dengan baik bagi memastikan keputusan positif dapat diraih. Selain itu, keserasian dan persefahaman yang baik harus dibentuk bermula sekarang bagi memastikan pasukan negara berada dalam keadaan yang baik menuju ke saingan Piala AFF Suzuki 2018.

Baca Juga: Sumareh Sertai Kem Latihan Hari Ini

Leave a Reply