Sumber Gambar: Twitter Syed Saddiq

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berpendapat hilangnya peruntukan makanan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) perlu disiasat kerana perkara tersebut dianggp tidak boleh dimaafkan dan tidak sepatutnya terjadi.

Menurut Sadek, catuan makanan yang dikenakan sebelum ini nyata tidak membantu tatkala para pemain di AMD sedang berada di peringkat pembangunan seperti aspek fizikal.

“Isu di AMD agak mengejutkan termasuk saya yang tidak percaya pelatih terpaksa berlapar akibat kekurangan makanan di sana. Pelik bagaimana peruntukan makanan yang sudah disediakan awal tak turun hingga pelatih hanya makan dua kali sehari di akademi.

“Mungkin berlaku ketirisan sebab itu dana tak ada. Jadi saya berpandangan Menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) perlu pantas membentuk jawatankuasa bebas menyiasat perkara itu,” katanya kepada Berita Harian.

Laporan Sukan NSTP sebelum ini mendedahkan pelatih AMD membabitkan kelompok pemain dari tingkatan tiga dan empat hanya diberikan makanan dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam dengan waktu tengahari mereka terpaksa menumpang makan di Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP).

Perkara ini nyata melahirkan kerisauan terutama di kalangan orang tuan pelatih AMD dan mereka berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera.

“Satu lagi perkara yang saya lihat mengapa menteri begitu lambat dalam membuat tindakan atau keputusan adalah kerana beliau dikelilingi oleh individu ‘musang berbulu ayam’.

“Macam mana nak selesaikan masalah ini sedangkan beliau dihampiri individu yang membuat keputusan ketika bersama menteri terdahulu. Jadi sebab itu, saya katakan beliau perlu segera wujudkan jawatankuasa bebas segera tanpa membuang masa lagi,” tambah Sadek.

Keadaan semasa AMD turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dimana ketika beliau membuat lawatan ke pusat latihan tersebut, beliau nyata kecewa dengan beberapa kepincangan serta kerosakan yang terjadi.

Apa yang pasti, masalah yang berlaku ketika ini harus diselesaikan dengan segera bagi memastikan pelatih dan juga jurulatih boleh menjalankan tugas mereka dengan baik.

Baca Juga: KBS Mahu Siasat Dana NFDP

Leave a Reply