Sumber Gambar: FA Selangor

Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) menyeru kepada ahli gabungan untuk bertenang dan tidak cepat melatah jika mereka tidak berpuas hati dengan perlantikan dua Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) iaitu Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon.

Menurut Presidennya, Mohd Faizal Wahid pelantikan dua naib presiden ini terbukti tidak melanggar apa-apa peraturan dan Presiden FAS sendiri, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mencadangkan nama mereka dan sudah pasti baginda sedia maklum dengan kemampuan dan kredebiliti mereka berdua.

“Betul kalau ikutkan, mereka berdua masih muda dan baharu dalam hal bola sepak tempatan.

“Bagaimanapun, mereka ada keistimewaan iaitu minat mendalam selain latar belakang pendidikan yang cukup tinggi bagi memacu perubahan selari dengan bola sepak moden yang kini lebih bersifat korporat dalam menjana pendapatan sendiri tanpa mengharapkan bantuan kewangan kerajaan negeri.

“Lihat pada kejayaan SCL (Selangor Champions League) yang dicetuskan Tengku Amir dengan gerak kerjanya dilakukan Izhar dan Dr Johan. Saya percaya ‘model’ sama ingin dilaksanakan kepimpinan baharu ini di mana profesionalisma diutamakan apabila menerajui sesebuah organisasi.

“Jadi tempoh empat bulan terlalu singkat untuk mengukur keupayaan mereka. Beri mereka masa dan kita sepatutnya bertenang dan menyokong apa jua perubahan dilakukan barisan FAS ketika ini,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelumnya, terdapat khabar angin beredar dimana pelantikan Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidom tidak sah dan gagal mengikut perlembagaan persatuan.

FAS kemudiannya menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri Shahril Mokhtar menemplak usaha sesetengah pihak yang sengaja menyebarkan dakwaan tidak benar itu dan menyatakan pelantikan Izhar dan Dr Johan yang menggantikan Datuk Lim Thean Seang dan Nizam Sani kerana meletakkan jawatan adalah sah dan mengikut peraturan sedia ada.

Apa yang pasti, pengurusan baharu FAS perlu diberikan masa kerana bukan mudah untuk menguruskan sebuah pasukan yang memiliki kredibiliti serta berkaliber seperti pasukan Selangor. Semua pihak perlu memainkan peranan agar matlamat yang ditetapkan dapat dicapai.

Baca Juga: 4 Jurulatih Yang Boleh Dipertimbangkan FAS

Leave a Reply