Sumber Gambar: MUSA

Ketua jurulatih Melaka United, E.Elavarasan mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan setelah empat bulan diberi tanggungjawab untuk menyelamatkan Melaka daripada terjatuh ke saingan Liga Perdana musim hadapan.

Jurulatih yang mesra disapa Ela ini menjelaskan beliau mahu mencari cabaran baru dan mahu memberikan laluan kepada Melaka United Soccer Association (MUSA) untuk membuat keputusan mengenai perjalanan pasukan pada musim hadapan.

“Saya dibawa ke Melaka oleh Datuk Yusoff Mahadi dengan sasaran menyelamatkan pasukan itu daripada jatuh ke Liga Perdana dan saya gembira kerana berjaya melakukannya,” kata Elevarasan yang menggantikan Eduardo Almeida pada Mei lalu.

“Ketika saya mengambil alih tugas sebagai jurulatih pada pertengahan musim, Melaka menduduki tangga ke-10 dengan hanya sembilan mata. Kami mengakhiri musim 2018 di tangga ketujuh dengan 31 mata.

“Ia suatu pencapaian yang membanggakan dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pengurusan, terutama Datuk Yusof, juga pemain yang memberi sepenuh komitmen sepanjang saya mengendalikan pasukan itu,” katanya kepada Berita Harian.

Tambah E.Elavarasan lagi, beliau kini masih lagi belum menentukan kemana destinasi beliau seterusnya kerana masih lagi terikat kontrak bersama Melaka sehingga November ini.

“Saya belum putuskan apa-apa kerana masih ada kontrak bersama Melaka sehingga penghujung bulan November. Mungkin selepas itu baru saya akan fikirkan.

“Buat masa ini, saya mahu menumpukan perhatian kepada kursus kejurulatihan bagi melayakkan saya mendapat lesen pro A,” tambah Ela.

Kehadiran Elavarasan berjaya memberi nafas baru kepada Melaka United yang sebelumnya sedikit bergelut untuk menampilkan persembahan terbaik dalam saingan Liga Super.

Kemasukan Ela dibantu dengan tiga pemain iaitu Syahrul Azwari, Ifedayo Olesegun dan Lee Chang-hoon menjadi watak utama dalam kebangkitan pasukan Melaka United sekaligus mengekalkan status dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Setelah E.Elavarasan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak, kini MUSA sedang dalam usaha untuk mencari pengganti kepada beliau. Dikhabarkan penolong kepada B.Sathianathan di Felda United, Nidzam Jamil menjadi sasaran utama MUSA bagi mengendalikan pasukan musim 2019 nanti.

Baca Juga: Tiga Pemain Dilepaskan Kerana Kecederaan

Leave a Reply