Skuad kebangsaan telah berlepas ke Colombo semalam bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang pasukan Sri Lanka Jumaat ini. Di sini, pemain manakah yang sesuai untuk membarisi jentera tengah pasukan negara ?

Ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe membawa seramai 6 pemain yang boleh mengisi bahagian tengah dalam skuad kali ini. Enam pemain tersebut adalah Kenny Pallraj, Mahali Jasuli, Azzizan Nordin, Syahmi Safari, Syamer Kutty Abba dan Nik Akif Syahiran yang dipanggil pada saat akhir bagi menggantikan Akram Mahinan yang mengalami kecederaan.

Empat pemain daripada senarai di atas beraksi sewaktu Malaysia beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Taiwan dan Kemboja bulan lalu. Syahmi, Mahali dan Nik Akif beraksi ketika tewas kepada Taiwan manakala Azzizan pula diturunkan ketika kemenangan ke atas Kemboja.

Bagi posisi pemain tengah bertahan, Syamer Kutty, Azzizan dan Kenny dilihat akan bersaing bagi mengisi posisi tersebut. Azzizan beraksi dengan baik ketika diturunkan pada perlawanan menentang Kemboja jadi Syamer dan Kenny perlu bekerja keras untuk mengambil hati Tan Cheng Hoe.

Tiga lagi pemain, Mahali, Nik Akif fan Syahmi pula akan bersaing bagi mengisi posisi yang ditinggalkan oleh Nazmi Faiz Mansor bagi membantu jentera serangan pasukan negara. Ketiga-tiga pemain dijangka tidak akan berdepan masalah kerana sudah mempunyai pengalaman beraksi bersama pasukan senior negara.

Apa yang pasti, pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama esok perlu menampilkan permainan terbaik mereka bagi memastikan Harimau Malaya mencatat keputusan positif dalam persediaan menuju ke saingan Piala AFF Suzuki 2018.

Pemain muda yang dipanggil dalam skuad kali ini juga perlu menggunakan peluang ini untuk menimba sebanyak pengalaman yang boleh sekaligus memikat hati Tan Cheng Hoe agar mengekalkan mereka dalam skuad yang akan dibawa bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2018.

Apa pendapat anda mengenai pemain mana yang sesuai untuk diturunkan bagi mengisi jentera tengah pasukan negara pada perlawanan menentang Sri Lanka esok ? Wajarkah Cheng Hoe menggabungkan pemain muda dan senior ?

Baca Juga: Siapa Yang Akan Membarisi Benteng Pertahanan ?

Leave a Reply