Pemain naturalisasi pertama Malaysia, Mohamadou Sumareh kekal tenang meskipun terdapat tekanan yang diletakkan di bahu beliau menjelang penampilan sulung bersama pasukan kebangsaan pada perlawanan menentang Sri Lanka esok.

Menurut Sumareh, beliau sudah bersedia untuk menampilkan aksi terbaik pada perlawanan Jumaat ini dan teruja untuk turun buat pertama kali dengan menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

“Begitu juga aksi kedua di gelanggang sendiri pada 16 Oktober ini di Melaka dan sesuatu yang positif perlu diterjemahkan,” kata Sumareh kepada Berita Harian.

“Apa yang menarik, semua pemain yang terpilih memiliki kualiti, pengalaman dan keistimewaan masing-masing, malah komitmen tinggi mereka memberi impak terhadap kejayaan pasukan negara pada perlawanan persahabatan dan aksi sebenar kelak (AFF).”

Sumareh juga menyatakan bahawa kini beliau perlu kembali mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik setelah dua minggu berehat dimana kali terakhir beliau beraksi ialah ketika Pahang menentang JDT di peringkat suku akhir Piala Malaysia.

“Memang wujud tekanan, namun ia dianggap sebagai cabaran yang harus dilunaskan demi meraih kejayaan terbaik buat skuad Harimau Malaya pada penyertaan sulung saya.

“Saya tidak memikirkan jaringan peribadi pada perlawanan pertama Jumaat ini, sebaliknya mahu memastikan kemenangan pasukan tanpa kira siapa yang meledak gol.

“Namun, jika mampu mencipta gol sudah pasti dianggap bonus da motivasi untuk saya bersama skuad negara,” tambah pemain berusia 26 tahun ini.

Kehadiran Sumareh diharapkan mampu untuk menambahkan lagi sengat di bahagian serangan pasukan negara menuju ke saingan Piala AFF Suzuki 2018 yang akan membuka tirainya bulan hadapan. Perlawanan menentang Sri Lanka dan Kyrgyztan menjadi medan terbaik bagi Sumareh untuk mencipa keserasian serta persefahaman yang baik.

Apa yang pasti, Sumareh perlu kekal tenang dan menampilkan permainan terbaik beliau pada. Ketiadaan Safawi Rasid bermakna posisi sayap kanan boleh dikatakan sepenuhnya milik beliau.

Apa pendapat anda mengenai penampilan pertama Mohamadou Sumareh bersama pasukan kebangsaan ? Mampukah beliau mencipta impak pada perlawanan menentang Sri Lanka ?

Baca Juga: Sumareh Sertai Kem Latihan!

Leave a Reply