Sumber Gambar: Semuanya Bola

Setelah kali terakhir tampil bersama pasukan kebangsaan pada October tahun lalu, pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Syamer Kutty Abba kembali dipanggil bagi membantu pasukan negara menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka dan Kyrgyztan.

Syamer tampil buat kali pertama bersama Harimau Malaya pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 dimana ketika itu Malaysia menentang Hong Kong. Selepas cemerlang bersama skuad bawah 23 tahun negara dalam saingan Sukan SEA 2017, ketua jurulatih ketika itu, Nelo Vingada memanggil Syamer.

Syamer kemudiannya menyertai Johor Darul Ta’zim dan beliau terus dihantar ke kelab Portugal, Villaverdense FC untuk tempoh pinjaman selama setahun. Sekembalinya Syamer ke pangkuan JDT pada pertengahan musim ini, ramai pihak ternanti-nanti aksi beliau.

Meskipun jarang diturunkan dalam kesebelasan utama, namun ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe tetap memanggil bekas pemain Pulau Pinang ini menyertai skuad bagi menghadapi pasukan Sri Lanka dan Kyrgyztan.

Syamer dilihat bakal bersaing dengan Azzizan Nordin dan juga Kenny Pallraj untuk posisi pemain tengah bertahan pasukan negara. Melihat kepada persaingan yang bakal dihadapi oleh Syamer, beliau bakal berdepan tugas berat untuk tampil dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan.

Azzizan Nordin beraksi dengan baik bersama pasukan Sabah sama juga dengan Kenny Pallraj yang beraksi dengan baik bersama pasukan Perak dalam saingan Piala Malaysia.

Apa yang pasti, jika diturunkan dalam kesebelasna utama, Syamer perlu menampilkan aksi terbaik beliau untuk memikat hati Tan Cheng Hoe seterusnya mengekalkan nama beliau dalam skuad akhir bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2018.

Pengalaman serta ilmu yang telah beliau dapat ketika beraksi bersama Villaverdense diharapkan dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi membantu pasukan negara pada dua perlawanan persahabatan nanti.

Apa pendapat anda mengenai penyenaraian Syamer Kutty Abba dalam skuad yang akan menghadapi Sri Lanka dan juga Kyrgyztan ? Adakah beliau layak untuk berada dalam pasukan ?

Dan mampukah pemain muda ini menampilkan permainan terbaik beliau sekaligus membantu pasukan kebangsaan ?

Baca Juga: Peluang Apek Kukuhkan Kedudukan

Leave a Reply