Sumber Gambar: Metro

Bekas pemain import Melaka United, Labinot Harbuzi meninggal dunia di rumahnya semalam dipercayai kerana serangan jantung.

Pemain yang pernah mewakili Melaka United dalam saingan Liga Perdana musim 2016 ini pernah menyuarakan hasrat untuk kembali beraksi bersama Melaka pada saingan musim hadapan. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

“Disebabkan kesibukan saya selain aksi Liga Malaysia belum berakhir menyebabkan saya tidak berkesempatan menghubunginya sehingga kami dikejutkan dengan berita kematiannya hari ini.

“Kehilangannya dirasai peminat di negeri ini dan MUSA. Bila bercerita kejayaan MU, sememangnya sumbangan pemain bawah 21 (B-21) tahun Sweden itu tidak boleh dipisahkan dengan Melaka,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Labinot membantu pasukan Melaka United menjuarai Liga Perdana musim 2016 dan beliau serta-merta menjadi pemain kegemaran para peminat. Bekas pemain skuad kebangsaan Sweden bawah 21 tahun ini digelar “Budak Nakal” sewaktu beraksi bersama Melaka.

Kata Datuk Yusoff lagi, MUSA terhutang budi dengan Labinot kerana sumbangannya kepada pasukan serta lega kerana hubungan kedua-dua pihak berada dalam keadaan yang baik walaupun pernah ada isu mengenai pembayaran bonus sebelum ini.

Namun, segala permasalahan telah selesai dan Labinot Harbuzi dikatakan berminat untuk kembali menyarung jersi Melaka United. Namun, semuanya hanya tinggal kenangan.

Bekas rakan sepasukan Labinot, Ilija Spasojevic tidak ketinggalan untuk mengucapkan takziah dengan memuat naik gambar yang bertuliskan “Berehat dengan tenang saudaraku Labinot Harbuzi”.

Pada 2009, bekas pemain Manchester United dan Juventus, Zlatan Ibrahimovic menyifatkan Labinot sebagai produk terbaik keluaran bola sepak Sweden. Kedua-dua pemain ini pernah beraksi bersama-sama dalam skuad bawah 21 tahun Sweden.

“Beliau adalah pemain yang mengujakan dan memiliki corak permainan yang unik. Itu yang Sweden perlukan,” kata Ibrahimovic.

Kami di Inikan Bola mengucapkan belasungkawa dengan pemergian Labinot Harbuzi.

Baca Juga: E.Elavarasan Tinggalkan Melaka United

Leave a Reply