Sumber Gambar: AFC

Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi aksi kelayakan kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun edisi 2020 yang dijadualkan bermula pada Mac tahun depan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata majlis undian bagi saingan kelayakan tersebut akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Malaysia dipilih sebagai salah satu tuan rumah bagi aksi kelayakan AFC Bawah 23 yang akan bermula Mac tahun depan.

“Kita (AFC) bersedia dari segi peraturan pertandingan, buat undian dan sebagainya. Sekarang tinggal tunggu hari undian sahaja,” katanya kepada mStar.

Datuk Windsor berkata 11 negara bakal menjadi tuan rumah kerana aksi kelayakan berkenaan akan melibatkan 44 pasukan.

“Jadi kita tunggu majlis undian untuk lihat pasukan mana yang akan diundi dalam satu kumpulan dengan Malaysia dalam saingan kelayakan itu,” tambah beliau.

16 daripada 44 pasukan yang bersaing dalam pusingan kelayakan tersebut, akan berentap pada pusingan akhir kejohanan berkenaan yang dijadual berlangsung di Thailand pada 2020.

Pada edisi 2018, pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee mencipta sejarah apabila melangkah ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah temasya.

Kemenangan ke atas pasukan Arab Saudi pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menerusi jaringan Daniel Amier Norhisham berjaya mengesahkan kemaraan pasukan negara.

Meskipun tewas kepada pasukan Korea Selatan di peringkat suku akhir, namun kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pasukan bawah 23 tahun negara yang beraksi dengan baik dalam temasya Sukan Asia 2018.

Apa yang pasti, dengan menjadi antara pasukan tuan rumah, diharapkan pasukan negara menampilkan aksi yang cemerlang sekaligus membolehkan Malaysia mara ke temasya AFC Bawah 23 Tahun. Sokongan padu daripada para peminat diharapkan dapat menyemarakkan lagi semangat pemain negara.

Baca Juga: 11 Pasukan Berjaya Dapatkan Lesen

Leave a Reply