Sumber Gambar: Perlis FA

Ketua jurulatih pasukan Perlis, Manja Man meminta bantuan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan tunggakan gaji para pemain dan juga pegawai pasukan.

Menurut Manja, sehingga hari ini PFA masih mengambil sikap lepas tangan walaupun tempoh diberikan FAM untuk melunaskan tunggakan itu sudah hampir dua minggu berlalu.

“Gaji saya tidaklah sebesar mana sebagaimana jurulatih pasukan lain tapi apabila tertunggak selama lapan bulan, sedikit sebanyak ia menjejaskan kehidupan saya.

“Malah, saya lebih bersimpati dengan nasib pemain, sudahlah gaji tidak sebesar mana, tertunggak pula. Mereka kini benar-benar tersepit sehingga sudah ada yang berdepan tindakan bank kerana gagal menjelaskan hutang kereta.

“Sehingga hari ini, tidak ada tanda-tanda PFA akan melangsaikan tunggakan itu walaupun FAM sudah mengeluarkan arahan pada 3 September lalu. PFA hanya membisu malah semua panggilan dan mesej saya kepada mereka tidak berjawab.

“Sebaliknya, saya diberitahu oleh seorang jurulatih skuad belia, pegawai persatuan itu mencabar supaya mereka mengadu kepada persatuan jurulatih (Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia),” kata Manja kepada Berita Harian.

Sebelum ini, FAM mengarahkan PFA agar melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawainya berjumlah RM461,500 dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan.

Jika gagal berbuat demikian, kes berkenaan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan rasmi.

“Saya difahamkan Perlis boleh digantung daripada menyertai pertandingan musim depan jika masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji itu. Jika ia berlaku, ia adalah satu kerugian kepada bola sepak negeri ini,” tambah Manja Man.

Apa yang pasti, PFA perlu segera menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan juga para pegawai pasukan agar mereka boleh meneruskan kehidupan seperti biasa.

Selain itu, mereka perlu segera menyelesaikan tunggakan gaji jika tidak mahu menerima hukuman berat daripada FAM sepertimana yang dikenakan terhadap Kuantan FA yang terpaksa dibubarkan pada pertengahan musim ini gara-gara masalah gaji sehingga membuatkan para pemain dan pegawai enggan turun ke stadium.

Baca Juga: Harimau Malaya Teruskan Rentak Kemenangan

Leave a Reply