Sumber Gambar: Felcra FC

Khabar angin beredar kencang ketika ini mengatakan naib juara Liga Perdana musim 2018, Felcra FC akan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim hadapan. Jika perkara ini berlaku, maka siapa yang akan dirugikan ?

Felcra layak beraksi dalam saingan Liga Perdana apabila mereka menggantikan Sime Darby FC yang menarik diri kerana kekangan kewangan. Pasukan bimbingan Tarcisio Pugliese ini menampilkan satu prestasi yang cemerlang dimana mereka berjaya mengetepikan cabaran daripada pasukan yang lebih besar seperti Sabah, Johor Darul Ta’zim II dan juga Terengganu FC II.

Tunjang kecemerlangan Felcra musim ini sudah pasti ketajaman pemain import mereka iaitu Casagrande yang menjadi penjaring terbanyak Liga dan juga Endrick Dos Santos yang menjadi penyumbang assist terbanyak dalam saingan Liga musim ini.

Berbalik kepada topik siapa yang akan dirugikan jika Felcra menarik diri, sudah pasti para pemain dan juga pegawai pasukan yang sudah bertungkus-lumus memastikan Felcra menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana, layak untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini dan juga layak beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Felcra boleh dikatakan memiliki satu pasukan yang mantap dan mampu untuk bersaing dalam saingan Liga Super musim hadapan. Mereka diketuai oleh bekas pemain Selangor dan Perak, Shahrom Kalam serta dibarisi oleh bekas ketua pasukan skuad bawah 23 tahun negara, Fandi Othman di bahagian pertahanan.

Selain itu, para pemain juga selesa dan memahami corak permainan yang digunakan oleh ketua jurulatih, Tarcisio Pugliese.

Apa yang pasti, jika Felcra menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim hadapan perkara ini akan menjadi satu kerugian kepada para pemain dan pegawai pasukan serta perkara ini bakal menjadi kesilapan terbesar yang mereka pernah lakukan.

Bukan mudah untuk pasukan dalam saingan Liga M mempunyai kualiti pemain yang mantap walaupun menggunakan bajet yang tidak begitu besar seperti pasukan lain. Pihak pengurusan Felcra perlu mencari jalan penyelesaian tentang bagaimana nak mengukuhkan kewangan pasukan bagi memastikan mereka boleh mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2019 dengan aman.

Baca Juga: Felcra FC, Silent Killer Dalam Saingan Liga Perdana

Leave a Reply