Sumber Gambar: Terengganu FC

Pemenang Piala Cabaran edisi yang pertama akan diketahui hari ini apabila pasukan Terengganu FC II menerima kunjungan pasukan UKM FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pada perlawanan akhir pertama yang diadakan di Stadium Shah Alam, UKM FC gagal untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dimana mereka diikat dengan keputusan 2-2. Keputusan ini secara tidak langsung memberikan kelebihan buat Terengganu FC II kerana mereka memiliki dua gol di tempat lawan.

Jurulatih TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa pasukan bimbingan beliau mampu untuk muncul juara kejohanan yang baru diadakan buat julung kalinya pada saingan musim ini.

“Ini merupakan pertemuan yang keenam antara TFC II dengan UKM FC, jadi sudah semestinya kami mengetahui kelebihan serta kekurangan pasukan masing-masing.

“Saya sentiasa mengingatkan pemain agar memanfaatkan setiap peluang yang ada selain perlu mengelak melakukan kesilapan kecil supaya tidak mengganggu rentak perlawanan. Pentas final ini ibarat peluang yang terbuka kerana kedua-dua pasukan mampu untuk menjuarai perlawanan tersebut,” katanya kepada Kosmo.

Tengku Hazman juga mengingatkan para pemain beliau supaya tidak membuat kesilapan yang tidak sepatutnya agar tidak mengganggu rentak perlawanan sehingga menyebabkan kelebihan yang dimiliki oleh mereka dapat diatasi oleh pasukan lawan.

Dalam masa yang sama, ketua jurulatih UKM, Sulaiman Hussin turut berharap kejuaraan edisi sulung itu menjadi milik pasukannya walaupun beraksi di tempat lawan.

“Ini peluang terbaik kami untuk melakar kemenangan dan saya yakin pemain juga mempunyai hasrat yang sama.

“Pemain kami akan berusaha mempamerkan aksi terbaik, bermain di tempat sendiri atau tempat lawan tidak menjadi masalah bagi kami untuk menjulang trofi ini,” kata Sulaiman Hussin kepada Berita Harian.

Apa yang pasti, UKM perlu bekerja keras sekiranya mereka mahu memadam kelebihan yang dimiliki oleh Terengganu FC II pada perlawanan akhir kedua malam ini sekaligus muncul sebagai juara sulung saingan Piala Cabaran.

Baca Juga:Kemana Destinasi Irfan Bakti Musim Hadapan ?

Leave a Reply