Sumber Gambar: Perlis FA

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) akan mengadakan perjumpaan dengan para pemain dan juga pegawai pasukan selepas Mesyuarat EXCO PFA yang pertama diadakan pada Rabu ini.

Presiden PFA yang baharu, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie berkata, pertemuan itu akan diadakan bagi membincangkan masalah gaji mereka yang sudah tertunggak sejak Mac lalu.

“Sebenarnya bukan itu saja (isu gaji tertunggak) yang akan kita bincangkan bersama pemain selepas mesyuarat itu nanti. Akan ada perkara lain, kita tunggu dulu selepas Mesyuarat EXCO pada Rabu ini kerana kemelut ini sedikit sebanyak menjatuhkan moral pegawai dan pemain,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum ini, seramai 37 pemain dan pegawai pasukan Perlis dikhabarkan sudah enam bulan tidak menerima gaji daripada majikan mereka. Walaupun ada amaran dan juga arahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melunaskan tunggakan tersebut, namun PFA mengambil langkah berdiam diri.

Menurut ketua jurulatih pasukan, Manja Man ada beberapa pemain yang terpaksa berurusan dengan pihak bank kerana mereka tidak mampu untuk membayar pinjaman peribadi seperti pinjaman kenderaan. Manja Man juga meminta bantuan daripada FAM agar masalah gaji ini boleh diselesaikan.

Tambah Ahmad Ahmizal yang dilantik sebagai presiden baru persatuan tersebut pada Kongres Luar Biasa (EGM) yang diadakan semalam, hutang persatuan yang tertunggak lebih daripada RM460,000 sebenarnya bukanlah tinggi seperti yang didakwa sebelum ini.

Apa yang pasti, PFA perlu segera menyelesaikan segala tunggakan gaji pemain dan juga pegawai pasukan bagi memastikan mereka boleh meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa dibebani dengan gaji yang belum diperoleh.

Selain itu, pelunasan tunggakan gaji juga bertujuan untuk mengelakkan bekas pemenang Piala Malaysia ini dikenakan hukuman yang berat oleh FAM menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Apabila tunggakan gaji pemain dan pegawai sudah diselesaikan, maka Perlis sudah boleh membuat perancangan untuk menghadapi saingan Liga FAM musim hadapan dan menetapkan sasaran yang mahu dicapai oleh pasukan tersebut.

Baca Juga: Pemain Dan Pegawai Perlis Menanti Gaji

Leave a Reply