Sumber Gambar: Mynewshub

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berharap ada sedikit tolak ansur dalam kalangan pemain untuk menuntut tunggakan gaji mereka.

Menurut Bibi, sehingga kini pihaknya sudah melangsaikan 70 peratus tunggakan gaji berjumlah RM2.6 juta kepada bekas pemain, membabitkan pemain import dan tempatan yang beraksi antara musim 2015 dan 2017.

“Bukan kami tidak mahu bayar bakinya (tunggakan), namun biarlah ada sikap tolak ansur terutamanya ketika persatuan mengalami tekanan kewangan ketika ini. Bagi kami ruang untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bibi berkata demikian setelah ada laporan mengatakan KAFA bertindak melepas tangan mengenai pembayaran gaji salah seorang bekas pemain pasukan.

“Kita cuba untuk selesaikan, namun ada kumpulan bekas pemain ini membuat laporan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Permain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Daripada laporan itu, kita mendapati jumlah tuntutan berbeza dengan rekod persatuan oleh itu mereka perlu datang berbincang dengan KAFA,” katanya.

“Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada beberapa bekas pemain Kelantan yang terbabit dengan masalah tunggakan gaji memahami masalah yang dihadapi persatuan, katanya.

Meskipun mereka telah menamatkan saingan Liga Malaysia musim ini, namun masalah nampaknya tidak henti-henti melanda pasukan yang pernah menjuarai Piala Malaysia itu.

Selain masalah tunggakan gaji pemain, KAFA kini sedang bekerja keras untuk mendapatkan lesen bagi membolehkan mereka untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.

Apa yang pasti, KAFA perlu segera menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan segera menguruskan perihal lesen bagi membolehkan mereka memulakan saingan Liga Malaysia musim hadapan dengan tenang dan tanpa sebarang masalah.

Baca Juga: KAFA Terdesak Untuk Dapatkan Lesen

Leave a Reply