Sumber Gambar: Terengganu FC

Ketua jurulatih pasukan Terengganu FC, Irfan Bakti tidak percaya pasukan bimbingan beliau tewas kepada pasukan Perak pada perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 2018 semalam.

Terengganu gagal untuk mempertahankan kelebihan yang dimiliki pada minit-minit terakhir permainan dimana Perak dua kali berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan.

“Sukar untuk mempercayai keputusan ini selepas kami mendahului 2-0 dan lawan kemudian bangkit menyamakan kedudukan pada masa sebenar dan ia sekali lagi terjadi pada masa tambahan ketika kami mendahului 3-2,” katanya dalam sidang media kepada Berita Harian.

Irfan turut mengakui ketiadaan dua pemain import, Lee Tuck yang dilayangkan kad merah serta Kipre Tchetche yang terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan memberikan kesan kepada corak permainan pasukan.

“Tetapi pemain tempatan saya tetap meneruskan permainan dan kami berjaya menjaringkan gol ketiga. Cuma bila bercakap soal penalti ia sama seperti loteri dan bagi saya elemen nasib tidak bersama kami malam ini,” katanya.

Jika Irfan tidak percaya dengan kekalahan pasukan beliau, rata-rata peminat tidak percaya dengan kualiti pengadil, Suresh Jayaraman pada perlawanan semalam yang disifatkan pengadil paling teruk dalam sejarah perlawanan akhir Piala Malaysia.

Pada perlawanan yang mendebarkan semalam, Terengganu selesa mendahului 2-0 di separuh masa pertama hasil sumbangan gol Kipre pada minit pertama dan ke-42.

Bersambung babak kedua, Perak kembali menampilkan kebangkitan dan perlawanan kembali terbuka apabila mereka berjaya merapatkan kedudukan seminit selepas rehat menerusi percubaan Mohd Firdaus Saiyadi.

Ketika TFC sudah berada di ambang kemenangan, Brendan Gan memastikan perlawanan diheret ke masa tambahan apabila mengikat kedudukan 2-2 menerusi rembatan jarak jauh pada minit pertama masa tambahan separuh masa kedua.

Mohd Faiz Nasir menceriakan TFC apabila meledak gol ketiga pada separuh masa pertama masa tambahan namun skrip sama sekali lagi berulang apabila TFC memberikan talian hayat kepada Perak dengan jaringan sendiri Igor Zonjic pada minit akhir sehingga memaksa perlawanan berlanjutan sehingga penentuan sepakan penalti.

Perak akhirnya muncul juara dengan keputusan 4-1.

Baca Juga: Pengadil Final Piala Malaysia 2018 Tiada Dalam Senarai FIFA

Leave a Reply