Sumber Gambar: ABS-CBN News

Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan England, Sven-Goran Eriksson sah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Filipina yang baru.

Menjelang saingan Piala AFF Suzuki dan juga temasya Piala Asia pada Januari tahun hadapan, nampaknya pasukan Filipina tidak mahu sekadar menjadi pasukan pelengkap saja dalam dua kejohanan tersebut.

Menurut pengurus pasukan Filipina, Dan Palami, Eriksson yang berusia 70 tahun telah bersetuju untuk menandatangani kontrak selama 6 bulan dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak tersebut.

Setelah Thomas Dooley tidak menyambung kontrak bersama The Azkals, posisi ketua jurulatih diisi oleh jurulatih dari Ireland, Scott Cooper. Dengan kehadiran Eriksson, Cooper kini bakal menjadi pembantu kepada beliau. Sebelumnya, Cooper pernah menjadi pembantu kepada Eriksson ketika jurulatih dari Sweden itu mengendalikan Leicester City.

“Kami akan berusaha dengan sebaik mungkin untuk mencapai matlamat kami,” kata Palami.

“Kami teruja dengan kehadiran Eriksson ke dalam pasukan kebangsaan Filipina.”

“Dengan reputasi, pengalaman dan pengetahuan beliau, memang tidak boleh dipersoalkan lagi tentang kemampuan beliau untuk membantu pasukan. Banyak pasukan kebangsaan dan juga kelab yang mahukan khidmat Eriksson namun kami berjaya meyakinkan Eriksson untuk mencipta sejarah bersama pasukan kebangsaan Filipina,” tambah Palami.

Sepanjang karier pengurusan Sven-Goran Eriksson, beliau telah membimbing pasukan di tiga benua yang merangkumi 13 kelab dan 4 pasukan kebangsaan.

Paling diingati ialah Eriksson pernah membimbing pasukan yang sarat dengan pemain bintang, England pada temasya Piala Dunia 2006. Akan tetapi, England hanya mampu mara sehingga ke peringkat suku akhir apabila mereka tewas kepada pasukan Portugal menerusi penentuan sepakan penalti.

Apa yang pasti, menarik untuk kita saksikan bagaimana Eriksson akan menggunakan pengalaman beliau dalam mengendalikan pasukan daripada rantau Asia Tenggara.

Selain itu, Eriksson juga harus memastikan The Azkals mengekalkan rentak cemerlang mereka setelah berjaya menampilkan satu permainan bola sepak yang menarik sekaligus membolehkan mereka untuk layak ke temasya Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu pada Januari tahun hadapan.

Baca Juga: Faiz Nasir Layak Untuk Beraksi Bersama Harimau Malaya

Leave a Reply