Sumber Gambar: FA Selangor

Teka-teki mengenai siapa yang bakal dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Selangor bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan masih lagi tidak dapat dirungkai setelah calon utama, Mehmet Durakovic dikatakan mahu kekal membimbing pasukan Perak.

Menurut laporan Berita Harian, sumber rapat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengatakan Mehmet mahu kekal membimbing Perak setelah tidak berminat dengan tawaran yang diberikan oleh FAS.

“Mehmet (Durakovic) tak jadi ke Selangor, beliau tak berminat dengan kontrak yang ditawarkan. Sebelum ini beliau hanya menandatangani MOU (memorandum persefahaman) dengan FAS, bukan kontrak,” kata sumber tersebut.

Sebelum ini, Durakovic dikhabarkan menjadi pilihan utama untuk kembali menjadi jurulatih pasukan Selangor setelah beliau berjaya membimbing Red Giants memenangi Piala Malaysia ke-33 pada 2015 lalu.

Setelah meninggalkan pasukan Selangor pada tahun berikutnya, Mehmet kemudiannya diberikan tanggungjawab untuk membimbing pasukan Perak pada Februari 2017 dan beliau berjaya menghadiahkan trofi Piala Malaysia buat pasukan Perak dimana skuad The Boss Gaurus menewaskan pasukan Terengganu pada perlawanan akhir edisi kali ini.

Setelah berjaya memberikan Piala Malaysia buat Perak, Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim kemudiannya berkata pihaknya akan memberikan kontrak baru bagi membolehkan Mehmet terus menjadi ketua jurulatih pasukan Perak.

Tambah sumber FAS tersebut, FAS kini sedang berunding untuk mendapatkan pengendali Felcra FC, Tarcisio Pugliese. Pugliese berjaya membimbing Felcra ke saingan Liga Super musim hadapan setelah menjadi naib juara Liga Perdana musim ini. Namun hasrat mereka untuk beraksi dalam saingan Liga Super tidak kesampaian apabila pasukan tersebut dibubarkan akibat kekangan kewangan.

“Oleh kerana Mehmet menolak tawaran itu, Selangor kini sedang berbincang dengan jurulatih FELCRA dan mereka juga ada beberapa pilihan jurulatih lain,” menurutnya.

Bagi teka-teki ini, penulis masih lagi berpendapat Simon McMenemy ialah individu yang sesuai untuk menjadi ketua jurulatih pasukan Selangor yang seterusnya. Pengalaman dan juga kebolehan yang dimiliki oleh Simon dilihat sesuai dengan kredibiliti pasukan Selangor yang terkenal sebagai kilang pemain muda.

Baca Juga: Simon McMenemy Calon Sesuai Kendalikan Selangor

Leave a Reply