Sumber Gambar: JST

Setelah melepaskan Marcos Antonio dan Fernando Elizari, juara Liga Super lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim membuat keputusan untuk melepaskan pemain tengah berkaliber mereka, Safiq Rahim.

Perkara ini diumumkan oleh pihak JDT menerusi laman media sosial mereka, Johor Southern Tigers pada semalam dengan Safiq dilihat bergambar dengan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pengumuman ini sekaligus menjawab pelbagai persoalan mengenai masa depan Safiq bersama JDT. Sejak Raul Longhi diberi tanggungjawab untuk menjadi ketua jurulatih pasukan, nama Safiq tidak lagi ada dalam senarai kesebelasan utama mahupun pemain di bangku simpanan.

Meskipun Raul Longhi kemudiannya digantikan dengan Luciano Figueroa, namun Safiq masih lagi gagal untuk membuat penampilan dalam kesebelasan utama pasukan.

Setelah dilepaskan oleh JDT, kini teka-teki baru muncul mengenai pasukan mana yang akan disertai oleh bekas pemenang Piala AFC ini. Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang dimana pasukan Lembah Klang akan menjadi destinasi seterusnya buat Safiq Rahim.

Jika benar Safiq mahu menyertai pasukan dari Lembah Klang, hanya ada dua pasukan sahaja yang berkemungkinan besar menjadi pilihan pemain yang mesra dipanggil Chopot ini. Dua pasukan tersebut ialah PKNS FC dan juga Selangor.

PKNS FC ketika ini dibimbing oleh jurulatih yang bertanggungjawab mencungkil bakat Safiq dan menjadikan beliau antara pemain tengah terbaik yang pernah dimiliki oleh Malaysia iaitu Datuk K.Rajagopal.

Manakala pasukan Selangor pula ialah pasukan yang mempopularkan nama beliau sehingga Safiq berjaya menyertai pasukan JDT.

Apa yang pasti, pasukan yang berjaya mendapatkan khidmat bekas ketua pasukan kebangsaan ini bakal mempunyai barisan tengah yang kuat memandangkan pengalaman yang dimiliki oleh pemain berusia 31 tahun ini amatlah luas. Lihat saja bilangan kejuaraan yang pernah dimenangi oleh beliau.

Apa pendapat anda mengenai masa depan Safiq Rahim ? Pasukan manakah yang akan menjadi sestinasi beliau yang seterusnya ?

Baca Juga: JDT Lepaskan Marcos Antonio Dan Fernando Elizari

Leave a Reply