Malaysia Football League (MFL) menerusi laman media sosial mereka semalam mengumumkan beberapa calon untuk Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018. Calon bagi pemain muda harapan menarik perhatian penulis dan menurut anda, pemain muda mana yang wajar untuk diangkat sebagai pemain muda harapan ?

Calon pertama, Akhyar Rashid mempunyai musim yang baik bersama pasukan Kedah. Kecemerlangan Akhyar musim ini turut mendapat perhatian ketua jurulatih pasukan senior negara, Tan Cheng Hoe untuk memberikan Akhyar penampilan pertama buat skuad kebangsaan pada perlawanan menentang Mongolia.

Calon kedua, Safawi Rasid turut mempunyai musim yang baik seperti Akhyar. Safawi selalu menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama dan menjadi penjaring terbanyak pasukan musim ini di mana beliau menjaringkan 16 gol dalam semua pertandingan.

Calon ketiga, Nik Akif Syahiran tidak kurang hebatnya. Meskipun beliau tidak berjaya membantu Kelantan kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan, namun Nik Akif berjaya tampil konsisten dan beliau juga tampil buat pasukan senior negara buat kali pertama tahun ini.

Ketiga-tiga pemain muda ini mempunyai kualiti dan juga kemampuan yang tersendiri. Safawi dan Akhyar cemerlang di bahagian serangan manakala Nik Akif cemerlang di bahagian tengah.

Ketiga-tiga pemain layak untuk diangkat sebagai pemenang Pemain Muda Harapan pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 nanti. Akhyar, Safawi dan Nik Akif telah mempamerkan satu kerja keras dalam membantu kelab dan pasukan negeri masing-masing dan juga pasukan kebangsaan.

Apa yang pasti, siapa sahaja yang memenangi anugerah tersebut haruslah menggunakan kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk mempertingkatkan lagi mutu dan juga tahap permainan.

Apa pendapat anda mengenai pemilihan Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Nik Akif Syahiran sebagai calon untuk anugerah Pemain Muda Harapan musim 2018 ? Pemain manakah yang layak untuk memenangi anugerah tersebut ?

Baca Juga: Akhyar Rashid Bersedia Untuk Diturunkan

Leave a Reply