Sumber Gambar: Fourthofficial.my

Kelab Thai League 1, Buriram United dikhabarkan berminat untuk membawa masuk khidmat bekas pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim setelah juara Liga Super musim 2018 itu mengambil keputusan untuk melepaskan beliau.

Nama Buriram menjadi sebutan setelah laman media sosial JDT, Johor Southern Tigers membalas komen daripada peminat setia pasukan yang bertanyakan pasukan mana yang akan diwakili oleh Safiq pada tahun hadapan.

Menurut JST, Safiq berkemungkinan besar akan beraksi di luar negara dan Buriram United adalah destinasi yang disebut-sebut. Untuk makluman, Buriram merupakan kelab yang selalu mendapat pujian pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana kelab tersebut mempunyai fasiliti dan juga kemudahan bertaraf dunia.

Selain dikaitkan dengan perpindahan ke Buriram, khabar angin turut kencang beredar bahawa Safiq akan menyertai kelab dari Lembah Klang musim hadapan. Pasukan Selangor dan PKNS FC dikatakan akan menjadi salah satu destinasi untuk Safiq.

Jika benar Safiq menyertai Buriram bagi saingan musim hadapan, ini adalah satu lagi pencapaian cemerlang dalam karier pemain tengah paling berjaya dalam sejarah bola sepak Malaysia ini. Setelah memenangi pelbagai kejuaraan bersama JDT, Safiq turut berpeluang untuk memenangi kejuaraan bersama kelab terbaik dalam saingan Thai League 1 ketika ini.

Apa yang pasti, pasukan yang disertai oleh Safiq bakal mempunyai jentera tengah yang kuat dan juga kemas kerana Safiq masih lagi mampu untuk beraksi di tahap yang tinggi meskipun berusia 31 tahun.

Pengalaman yang beliau miliki mampu untuk membantu pasukan sekaligus menjadi antara pasukan yang mencabar kejuaraan.

Selain nama Safiq Rahim, nama ketua pasukan Terengganu FC, Kipre Tchetche turut dikaitkan dengan juara Thailand League 1 itu.

Baca Juga: Kemana Destinasi Safiq Rahim Musim Hadapan?

Leave a Reply