Sumber Gambar: Semuanya JDT

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah menjelaskan mengenai situasi Mehmet Durakovic dan mengapa beliau tidak menjadi ketua jurulatih pasukan seperti yang diwar-warkan sebelum ini.

Menerusi satu pengumuman di laman web pasukan, Mehmet Durakovic telahpun menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Selangor pada bulan September lalu sebagai pengendali skuad Red Giants bagi musim 2019.

“Akan tetapi, beberapa hari lalu Durakovic telah menghadap Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga merupakan Presiden FAS, untuk menyatakan hasrat beliau untuk terus bersama dengan pasukan Perak FA.

Tengku Amir Shah telah mempertimbangkan perkara ini dan bersetuju untuk membatalkan kontrak tersebut mengenangkan En. Durakovic telah banyak berjasa kepada pasukan Selangor sepanjang kerjaya bola sepak beliau,” kata FAS.

Setelah situasi Mehmet jelas, pihak pengurusan pasukan Selangor kemudiannya memberi jaminan kepada peminat setia pasukan bahawa mereka sedang mempertimbangkan calon-calon jurulatih tempatan dan antarabangsa yang terbaik untuk mengendalikan pasukan Selangor bagi Liga Super musim 2019.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengesahkan Mehmet akan terus menjadi pengendali pasukan setelah kejayaan pasukan tersebut memenangi Piala Malaysia edisi 2018 dengan menewaskan pasukan Terengganu FC di perlawanan akhir.

Kini, beberapa nama jurulatih telah dikaitkan dengan pasukan Selangor antaranya bekas ketua jurulatih pasukan Felcra FC, Tarcisio Pugliese, jurulatih Bhayangkara FC, Simon McMenemy dan bekas ketua jurulatih pasukan Felda United, B.Sathianathan.

Apa yang pasti, FAS perlu segera mencari ketua jurulatih yang baru bagi membolehkan pasukan membuat persediaan menjelang musim baru Liga Malaysia.

FAS juga belum membawa masuk sebarang pemain baru kerana tiada jurulatih yang membuat keputusan.

Baca Juga: B.Sathianathan Tiada Jodoh Bimbing Perak.

Leave a Reply