Sumber Gambar: Terengganu FC

Ketua jurulatih pasukan Terengganu FC, Irfan Bakti mendedahkan pemain beliau kini menjadi rebutan pasukan dari dalam dan luar negara.

Menurut Irfan, selepas aksi perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 tempoh hari, kini beberapa pasukan sudah mengutarakan hasrat untuk mengambil khidmat pemain Terengganu.

“Sebelum ini pasukan lain terutama daripada Liga Malaysia (Liga M) tidak begitu berminat dengan pemain Terengganu, mungkin kerana pemain berkenaan tidak ada nama atau kurang dikenali.

“Namun selepas aksi final Piala Malaysia bertemu Perak baru-baru ini, banyak pasukan kini bagaikan tergila-gilakan pemain Terengganu,” ujar Irfan Bakti kepada Berita Harian.

Sebelum ini, aksi cemerlang ketua pasukan, Kipre Tchetche dan pemain sayap, Faiz Nasir telah menarik perhatian beberapa kelab untuk mengambil khidmat mereka bagi saingan musim hadapan. Tidak ketinggalan dua pemain tengah, Lee Tuck dan Thierry Chanta-Bin yang turut mendapat perhatian pasukan dari dalam dan luar negara.

Meskipun pemain beliau menjadi rebutan cuba dipancing untuk menyertai pasukan lain musim hadapan, Irfan Bakti kekal tenang dan mengharapkan para pemain bijak untuk membuat keputusan untuk terus beraksi bersama Terengganu FC musim hadapan.

“Pemain datang dan pergi adalah lumrah dalam sukan bola sepak, sekiranya ada pemain yang sudah tidak berminat lagi bersama Terengganu, saya ada beberapa altenatif lain bagi mengisi kekosongan itu sekiranya berlaku demikian.

“Namun saya harapkan pemain berkenaan akan terus kekal bersama Terengganu dalam mengharungi cabaran yang lebih getir musim depan,” tambah Irfan.

Kelab Thai League 1, Buriram United dikhabarkan berminat untuk membawa masuk khidmat Kipre Tchetche. Buriram akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia musim hadapan dan kelibat Kipre dilihat mampu untuk memperkuat pasukan.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Gugurkan 3 Pemain

Leave a Reply