Sumber Gambar: MFL

Bekas ketua jurulatih pasukan Felda United, B.Sathianathan berkata tiada jodoh untuk beliau membimbing pasukan Perak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Menurut Sathia, beliau hampir pasti menjadi ketua jurulatih kepada pasukan negeri kelahirannya namun keputusan Mehmet Durakovic untuk kekal membimbing pasukan telah membuatkan hajat beliau tersekat.

“Bukan jodoh saya dengan Perak. Saya dilahirkan di Perak tetapi itulah lumrah dalam bola sepak.

“Jika saya dalam pengurusan tertinggi Perak sekalipun, saya akan mengekalkan Mehmet kerana dia seorang jurulatih yang baik dan berjaya membawa pulang trofi.

“Benar, saya banyak mengkritik jurulatih luar sebelum ini, namun dengan standard yang ditunjukkan Mehmet, itu membuktikan bahawa dia sememangnya seorang jurulatih yang berkualiti,” katanya kepada Stadium Astro.

Sebelumnya, Sathia memutuskan untuk tidak menyambung kontrak bersama pasukan Felda United setelah pengurusan pasukan Felda mahu memotong gaji beliau sebanyak 60%.

Tambah Sathia, beliau sudah ada perancangan tersendiri jika gagal mendapatkan mana-mana pasukan musim depan.

Antaranya adalah meneruskan klinik bola sepak di peringkat akar umbi dan mengendalikan kursus kejurulatihan.

Namun, dia masih berharap akan mempunyai pasukan untuk dilatih musim depan memandangkan namanya berada dalam radar pasukan Selangor dan Kuala Lumpur.

“Saya ada mendapat tawaran melalui ejen pasukan-pasukan daripada Lembah Klang, namun belum ada perbincangan lanjut bersama pasukan tersebut,”tambah Sathia.

Teka-teki mengenai masa depan Mehmet Durakovic bersama pasukan Perak akhirnya terjawab dimana beliau bersetuju untuk terus menjadi ketua jurulatih pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Mehmet dikaitkan dengan kerusi panas pasukan Selangor dan beliau sudahpun menandatangani kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada September lalu.

Namun, beliau kemudiannya membuat pusingan U dan kekal sebagai pengendali pasukan Perak.

Baca Juga: Ketua Jurulatih Selangor Masih Menjadi Teka-teki

Leave a Reply