Sumber Gambar: Fourfourtwo

Pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih mengakui terkejut nama beliau tidak tersenarai dalam skuad akhir untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada saingan Piala AFF Suzuki edisi kali ini.

Meskipun begitu, pemain berusia 23 tahun ini menerima keputusan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe dengan hati yang terbuka dan mengganggap tiada rezeki untuk mewakili Malaysia dalam saingan Piala AFF kali ini.

“Saya dimaklumkan mengenai keputusan itu pagi tadi, memang agak terkejut tapi sebagai pemain saya kena terima, mungkin bukan rezeki saya kali ini.

“Memang sebelum ini saya cedera hamstring tapi sudah semakin pulih. Saya boleh menjalani latihan dan bermain meskipun semalam ada terasa sedikit sakit, sebab ia perlawanan pertama saya lagipun beraksi dalam hujan.

“Jika saya dipilih, saya fikir boleh meningkatkan tahap kecergasan dan boleh bermain dalam perlawanan tertentu tapi mungkin jurulatih tidak mahu mengambil risiko,” katanya kepada Sukan NSTP.

Nor Azam diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Malaysia menewaskan pasukan Maldives dengan keputusan 3-0 pada Sabtu lalu. Azam berjaya mengawal bahagian tengah dengan baik dan hantaran-hantaran beliau banyak membantu barisan serangan pasukan negara.

Namun, nama Nor Azam tidak berada dalam skuad akhir kerana kecederaan hamstring yang dialami oleh beliau. Selain Nor Azam, Cheng Hoe turut menggugurkan seorang lagi pemain tengah, Azzizan Nordin dan pemain pertahanan, Azrif Nasrulhaq.

Dengan pengguguran Nor Azam dan juga Azzizan, bermakna pasukan negara hanya mempunyai tiga pemain tengah iaitu Akram Mahinan, Kenny Pallraj dan Syamer Kutty Abba. Dua lagi pemain, Irfan Zakaria dan Syahmi Safari juga boleh beraksi di bahagian tersebut tetapi kedua-dua pemain didaftarkan sebagai pemain pertahanan.

Apa yang pasti, amat disayangkan Nor Azam tiada dalam senarai akhir kerana kualiti serta kemampuan beliau dilihat boleh memperkemaskan lagi bahagian tengah pasukan negara. Setelah menunggu lama untuk beraksi bersama pasukan senior, Nor Azam akhirnya mendapat peluang namun kecederaan hamstring menghambat perjalanan beliau.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Gugurkan Tiga Pemain

Leave a Reply