Sumber Gambar: Suara Perak

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim tidak akan mengambil kisah desakan daripada ramai pihak yang mahukan beliau berundur sebagai presiden persatuan dan akan kekal mempertahankan jawatan tersebut.

Hasnul dikecam hebat setelah meletakkan trofi Piala Malaysia di celah kangkang beliau dan ramai pihak berpendapat tindakan tersebut telah mencalar prestij trofi paling bersejarah dalam saingan Liga Malaysia itu.

Hasnul enggan melepaskan jawatan sebagai presiden kerana beliau mempunyai perancangan untuk mengekalkan kecemerlangan pasukan Perak pada saingan musim hadapan.

“Saya sekali lagi mohon maaf atas kontroversi yang berlaku baru-baru ini, dan mengaku ia disebabkan kekhilafan diri dan tidak cukup matang untuk mengawal keterujaan diri dalam meraikan kemenangan Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu.

“Saya tidak menolak kemungkinan serangan berbentuk kecaman berterusan dibuat bermotif politik kerana serangan-serangan sedemikian dilemparkan bermula sejak mengambil alih jawatan Presiden PAFA.

“Namun, segala bentuk serangan itu tidak berkesan dan saya yakin dapat membuktikan sesuatu kepada rakyat Perak bagi meneruskan kesinambungan kejayaan bola sepak negeri ini pada masa hadapan.” katanya menurut laporan Berita Harian.

Menurut Hasnul lagi, beliau masih lagi mendapat sokongan daripada EXCO persatuan untuk terus kekal mengisi kerusi presiden. Jika Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengarahkan beliau untuk berundur, barulah Hasnul akan mempertimbangkan perkara tersebut.

Hasnul kemudiannya meminta sokongan daripada rakyat Perak dan beliau juga mahu peminat setia pasukan untuk mengentikan kemarahan mereka terhadap beliau.

“Saya juga berharap rakyat Perak akan terus memberikan sokongan kepada saya kerana di sebalik kekhilafan dilakukan, saya sudah menyuarakan kemaafan secara terbuka dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa hadapan,” tambah Hasnul.

“Saya sekali lagi menyeru penyokong Perak cukup-cukuplah melepaskan kemarahan kepada saya, mohon mereka terus berdiri teguh di belakang PAFA kerana kalau mereka terus bergerak dengan suasana negatif, aura negatif itu akan menjejaskan pula keseluruhan pasukan bola sepak Perak,” katanya.

Baca Juga: B.Sathianathan Tiada Jodoh Bimbing Perak

Leave a Reply