Sumber Gambar: Fourthofficial.com

Bekas ketua jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria dilantik sebagai ketua jurulatih baru pasukan Liga Perdana, UiTM FC bagi menggantikan Wan Mustaffa Wan Ismail.

Ismail menegaskan beliau berminat untuk membimbing Lion Troops kerana beliau percaya dengan kemampuan serta kepakaran yang dimiliki oleh UiTM serta mahu melupakan mimpi ngeri ketika membimbing Kuantan FA musim ini.

“Saya ada menerima tawaran daripada pasukan Liga Super dan pendatang baharu Liga Perdana musim depan, tapi selepas memikirkan sedalamnya saya memilih UiTM.

“Selain tidak mahu lagi kemelut kewangan melanda pasukan yang dilatih sebagai mana musim ini bersama Marcerra, saya juga mahu berkongsi dan mendalami ilmu berkaitan pemakanan, psikologi, motivasi dan lain-lain kerana yakin dengan kepakaran yang ada di UiTM.

“Jika semuanya berjalan lancar, tugas pertama saya akan bermula esok (hari ini) sebelum menilai pemain import dari Ghana dan Syria bermula 10 November ini,” kata Ismail kepada Berita Harian.

Dalam saingan Liga Perdana musim 2018, UiTM FC yang dibimbing oleh Wan Mustaffa Wan Ismail sekadar menghuni tangga ke-9 Liga dengan berkongsi 22 mata bersama UKM dan Sarawak. Mujur mereka tidak tersingkir ke saingan Liga FAM musim hadapan.

Ismail Zakaria menambah beliau mahu menyenaraikan pemain muda terutamanya pemain dari kalangan pelajar universiti kerana beliau mahu melahirkan pemain berkualiti apabila pelajar ini tamat pengajian.

“Matlamat kami bukan hanya mengintai kejuaraan, tapi untuk melahirkan pelajar yang mampu bersaing hebat terutama dalam bola sepak, saya yakin mampu melakukannya jika diberi peluang itu,” tambah Ismail yang mengikat kontrak selama semusim bersama salah satu pasukan universiti itu.

Pengalaman yang dimiliki oleh Ismail serta pengetahuan yang dimiliki oleh beliau menjadi antara faktor utama mengapa UiTM FC meletakkan kepercayaan penuh kepada beliau untuk mengendalikan pasukan.

Setelah beraksi dengan cemerlang dalam saingan musim 2016 lalu, kejatuhan pada musim berikutnya sudah pasti tidak mahu diulangi lagi oleh skuad The Lions Troops sekaligus mencabar pasukan lain untuk meraih kejuaraan.

Baca Juga: Subkhiddin Mohd Salleh Letak Jawatan

Leave a Reply